Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Rusia tawar kepakaran loji nuklear terapung, sahkan rundingan dengan Malaysia

Naz Raseed 10/12/2025 | 08:52 MYT
Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata kerjasama antara Malaysia-Rusia terhadap keperluan tenaga loji nuklear, mampu memperkukuh hubungan dua hala. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Rusia di Malaysia mengesahkan negara itu telah memulakan rundingan dengan Malaysia bagi membentuk kerjasama strategik dalam pembangunan tenaga nuklear, termasuk cadangan pembinaan loji janakuasa nuklear terapung.


Ringkasan AI
  • Kedutaan Rusia di Malaysia mula runding kerjasama strategik dalam pembangunan tenaga nuklear, termasuk cadangan loji nuklear terapung, menandakan fasa baharu hubungan Malaysia-Rusia.
  • Rusia bersedia menyokong Malaysia dengan pembinaan loji nuklear berskala besar, sederhana atau kecil, serta mencadangkan penggunaan loji nuklear terapung untuk Malaysia.
  • Rusia turut tawarkan bantuan dalam merangka dasar, undang-undang, dan garis panduan keselamatan program tenaga nuklear, dengan penekanan kepada keselamatan awam dan potensi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.


Menurut Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov, perbincangan yang bermula tahun ini menandakan fasa baharu dalam hubungan dua hala antara Malaysia-Rusia, selaras dengan hasrat Malaysia untuk meneliti pelaksanaan Program Tenaga Nuklear Nasional.

“Kami memahami program ini masih dalam peringkat perbincangan, tetapi kami bersedia menyokong Malaysia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kedutaan Rusia, di sini, hari ini.

Tambah Latypov, Kedutaan Besar Rusia di Malaysia juga mampu menawarkan pilihan pembinaan loji nuklear berskala besar, sederhana atau kecil, bergantung kepada keperluan tenaga Malaysia.

“Rusia kini terlibat dalam pembinaan lebih 20 kemudahan nuklear di seluruh dunia,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penggunaan loji nuklear terapung, iaitu platform janakuasa mudah alih yang boleh ditempatkan di perairan Malaysia.

Latypov berkata teknologi itu sudah beroperasi di Kamchatka, dan Rusia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai pengalaman sebenar dalam mengendalikan loji nuklear terapung.

Beliau menjelaskan bahawa model tersebut turut menawarkan kelebihan penjimatan kos kepada Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia menerusi Kedutaan Besarnya turut menyatakan kesediaan bagi membantu Malaysia merangka dasar, undang-undang dan garis panduan keselamatan untuk program tenaga nuklear.

“Kami (Rusia) sedar isu nuklear adalah sangat sensitif kepada masyarakat, dan kami bersedia berkongsi pengalaman mengurus persepsi awam,” ujar Latypov.

Beliau turut mengalu-alukan lawatan beberapa pakar nuklear Malaysia ke kemudahan nuklear terapung di Rusia bagi menilai sendiri tahap keselamatan teknologi itu sebelum rundingan diteruskan.

Tegas Latypov, Kedutaan Besar Rusia di Malaysia melihat kerjasama tenaga nuklear sebagai peluang besar yang mampu menyumbang kepada kestabilan tenaga di Malaysia.

“Dari sudut pandangan kami, potensi kerjasama ini sangat luas dan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara,” katanya lagi.







#Kedutaan Rusia #malaysia-rusia #loji nuklear terapung #Naiyl M Latypov #kongsi kepakaran