MALAYSIA

Rusuhan di Pasar Awam Melor, 12 individu ditahan - Polis

Bernama 26/12/2025 | 16:40 MYT
Polis menahan lima lelaki dan tujuh wanita tempatan bagi membantu siasatan kes rusuhan di Pasar Awam Melor, semalam. - Foto hiasan/BERNAMA
KOTA BHARU: Polis menahan lima lelaki dan tujuh wanita tempatan bagi membantu siasatan kes rusuhan di Pasar Awam Melor, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 19 tahun yang mendakwa dikasari seorang wanita lain berusia lingkungan 20-an dalam kejadian yang berlaku pada 2.30 petang.

Beliau berkata insiden berkenaan turut melibatkan ahli keluarga pengadu dan suspek, sebelum pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh orang awam.

"Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan pada seluruh badan dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan awal 20-an hingga lewat 50-an dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi tujuan permohonan reman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

#rusuhan #Pasar Awam Melor #Polis Daerah Kota Bharu #ditahan