Seramai 58 individu telah ditahan polis setakat ini bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, di sini, Isnin lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua mereka terdiri daripada 38 individu Melayu, 18 individu India dan dua individu Cina, kini sedang disiasat.

Beliau turut mengesahkan, lebih 5,000 laporan polis telah diterima di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, lebih 1,800 aduan diterima di Selangor dan selebihnya di Johor dan beberapa negeri lain," katanya kepada media selepas melawat kawasan kuil berkenaan pada Ahad.


Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Sementara itu, Muhyiddin juga berkata, seorang saksi telah tampil kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kes angota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun, yang cedera akibat diserang perusuh dalam insiden kedua berhubung rusuhan kuil pada Selasa lalu.

"Namun, kami masih belum dapat maklumat terperinci kalau ada pihak lain yang terlibat dalam menyebabkan kecederaan Muhammad Adib," tambahnya.