MALAYSIA

RUU Akta 652 angkat taraf kepakaran TVET, lahir tiga sijil pakar nasional

Astro Awani 09/12/2025 | 06:39 MYT
Steven Sim bergambar bersama wakil kementerian dan agensi berkaitan selepas pembentangan pindaan Akta 652 yang memperkenalkan tiga sijil pakar nasional bagi memperkukuh landskap TVET negara. -Foto KESUMA
KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah baharu dalam landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025, atau Akta 652, diluluskan Dewan Rakyat yang antara lain memperkenalkan tiga sijil pakar nasional buat pertama kalinya.


Ringkasan AI
  • Akta 652 diluluskan Dewan Rakyat, memperkenalkan tiga sijil pakar nasional bagi pertama kalinya, mengiktiraf kepakaran tenaga mahir tempatan secara formal dan mengikut piawaian antarabangsa.
  • Pindaan Akta tersebut memperkukuh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan memperluas pengiktirafan kemahiran serta meningkatkan kualiti penyedia latihan, termasuk penglibatan dalam industri baharu seperti kecerdasan buatan, automasi, teknologi hijau, dan semikonduktor.
  • Pindaan terhadap Akta 640 turut diluluskan untuk memperkukuh mekanisme pembiayaan latihan negara melalui pemantapan tadbir urus PTPK, dengan peluasan pinjaman latihan, proses kelulusan yang lebih telus, dan peneguhan tindakan penguatkuasaan demi melahirkan tenaga kerja mahir dan selari dengan keperluan industri.


Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan bahawa pembaharuan tersebut menandakan revolusi TVET negara kerana buat julung-julung kalinya kepakaran tenaga mahir tempatan diiktiraf secara formal mengikut piawaian antarabangsa.

Menurut KESUMA, tiga kategori pakar yang diperkenalkan ialah Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan, dan Perunding Kemahiran, yang diwujudkan khusus untuk menilai pengalaman luas serta kepakaran tenaga kerja tempatan dalam pelbagai industri.

“Akta 652 yang berkuat kuasa hampir dua dekad kini diperkukuh melalui 15 fasal pindaan bagi memperluas pengiktirafan kemahiran dan meningkatkan kualiti penyedia latihan.

“Pindaan ini memastikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kekal relevan dan responsif terhadap keperluan industri baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi hijau dan semikonduktor,” menurut kenyataan itu.

Pindaan tersebut turut memperkukuh tadbir urus TVET melalui peluasan keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dengan penglibatan kementerian berkaitan serta Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bagi memastikan dasar kemahiran dipandu kepakaran teknikal sebenar.

teven Sim membentangkan Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat yang menjadi asas kepada reformasi besar TVET. - Foto KESUMA


Melalui pindaan itu, JPK kini boleh mengiktiraf program latihan di luar Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) termasuk latihan frontier dalam bidang AI, automasi, semikonduktor dan teknologi hijau bagi tujuan pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

KESUMA turut menyatakan bahawa tempoh pentauliahan pusat latihan kemahiran dilanjutkan daripada tiga tahun kepada sehingga tidak melebihi enam tahun selain memperkenalkan tatacara baharu penggantungan dan pembatalan pentauliahan bagi meningkatkan integriti penyedia latihan.

Satu lagi pembaharuan utama ialah pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) yang menawarkan laluan fleksibel micro-credential dengan kos rendah bertujuan menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta memudahkan peningkatan kemahiran secara berperingkat.

Cadangan ayat SKMM menyediakan laluan micro-credential yang fleksibel dan berkos rendah bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat serta memudahkan peningkatan kemahiran secara berperingkat.

Dalam kenyataan berasingan, KESUMA menjelaskan bahawa pindaan terhadap Akta Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640] yang turut diluluskan Dewan Rakyat bertujuan memperkukuh mekanisme pembiayaan latihan negara melalui pemantapan tadbir urus PTPK.

“Langkah ini membolehkan lebih ramai rakyat mengakses latihan berkualiti termasuk program di luar konteks standard kompetensi kebangsaan yang mempunyai permintaan tinggi oleh industri,” jelas kenyataan itu.

Teras lain dalam pindaan Akta 640 termasuk perluasan pinjaman latihan dan bantuan kewangan, proses kelulusan yang lebih telus serta tindakan penguatkuasaan yang diperkukuh merangkumi had masa tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan keluar negara terhadap peminjam ingkar.

KESUMA menegaskan bahawa penyelarasan kedua-dua akta tersebut akan membolehkan sistem pembangunan dan pembiayaan kemahiran negara dilaksanakan secara lebih seragam serta mampu melahirkan tenaga kerja mahir, kompeten dan selari dengan keperluan industri semasa.

Dengan pembaharuan menyeluruh ini, Malaysia menyasarkan TVET sebagai pendidikan arus perdana dan pemacu utama pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.




#TVET #KESUMA #RUU Akta 652 #Steven Sim