KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bertujuan memastikan kestabilan politik, dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sewaktu membentangkan RUU tersebut di Dewan Rakyat pada Rabu, Perdana Menteri berkata, pindaan itu juga bagi memberikan mesej jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili.

Menurut beliau, prinsip itu penting bagi melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, ketika proses pilihan raya.

“Saya yakin Rang Undang-Undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sokongan semua Ahli Dewan Rakyat amat penting bagi memastikan kelulusan RUU tersebut.

Beliau berkata, sokongan itu diperlukan memandangkan ia perlu mendapat sokongan tidak kurang dua pertiga atau minimum 148 orang Ahli Dewan selaras dengan keperluan fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Besarlah harapan saya agar Rang Undang-Undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

“Rang Undang-undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

“Semoga Rang Undang-Undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 (MA63), yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli-Ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya lagi.

Terdahulu, sewaktu membentangkan RUU tersebut, Ismail Sabri berkata, pindaan tersebut mengandungi empat perenggan dan enam fasal.

“Perenggan 1 bertujuan untuk memasukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan berkenaan dengan fasal 6, iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh, dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi suatu Negeri, menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa bagi fasal itu dalam Negeri itu.

“Dalam erti kata lain, perenggan ini memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri/Dewan Undangan Negeri untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri,” kata Perdana Menteri.

Perenggan 2, jelas beliau, bertujuan menggantikan perenggan (b) berhubung sekatan ke atas hak untuk menubuhkan persatuan berhubung dengan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan mana-mana Negeri, dikenakan masing-masing oleh Perkara 49A, dan seksyen 7A Jadual Kelapan.

Perenggan Ketiga pula, kata Perdana Menteri, bertujuan untuk memasukkan fasal baharu 3, 4, 5, dan 6.

“Fasal Baharu 3 bertujuan untuk memotong Fasal (6) Perkara 48, bagi  membolehkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya, untuk bertanding semula pada bila-bila masa, selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat, dan dengan demikian kehilangan kelayakan untuk menjadi ADR bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai,” ujar Ismail Sabri lagi.

Fasal Baharu 4, kata Ismail Sabri, membolehkan status seseorang Ahli Dewan serta kerusinya. menjadi kosong sebaik individu tersebut melepaskan atau terhenti menjadi anggota suatu parti politik.

Kekosongan itu, katanya, berkuat kuasa sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan.

Ismail Sabri berkata, peruntukan itu juga terpakai kepada calon Bebas yang terpilih ke Dewan Rakyat, yang kemudiannya menyertai suatu parti politik.

Sementara itu Perenggan 4, jelas Perdana Menteri, berhubung penggantian implikasi kewangan Rang Undang-Undang.

“Perenggan 4 bertujuan untuk menggantikan implikasi kewangan Rang Undang-Undang memandangkan kemasukan Perkara baharu 49A dan pindaan Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan akan melibatkan Kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan…

“… bagi maksud pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengisi kekosongan luar jangka Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan mana-mana Negeri,” terangnya lagi.