KAJANG: Penyalahgunaan ketum akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) yang akan menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaa (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, ia akan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif dan memberi akses terus kepada agensi tersebut untuk mengambil langkah merawat pulih dengan lebih efektif ke atas penagih ketum.

"Sebelum 2020 lagi, kita sudah sedia dan bagi input kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan fokus kita kini adalah akses bagi merawat penagih termasuk individu menagih ketum yang sebelum ini kita tidak ada akses.

"Dengan adanya RUU ini, maknanya siapa yang menagih ketum akan disenaraikan di bawah jadual dalam akta berkenaan.

"Perkara itu membolehkan kita merawat dan memulihkan mereka yang ketagih dengan ketum dan itu antara perkara-perkara yang kita akan lihat," katanya ketika Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Hari Raya AADK di ibu pejabat AADK di sini, pada Jumaat.

Menurut Sutekno, ketika ini ketum disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-bahan Psikotropik), Akta Racun 1952.

Beliau menjangkakan, RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Baru-baru ini, isu ketum mendapat perhatian semua pihak apabila Kementerian Kesihatan sedang mengkaji penggunaan ketum dan kanabis dalam perubatan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, akta baharu itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai ini untuk dibincangkan.