KUANTAN: Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang akan dibentangkan di Parlimen pada mesyuarat pertama tahun depan bagi memperkukuh kawal selia urus niaga dalam talian, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh.
Beliau berkata draf awal RUU itu telah disiapkan dan sedang melalui proses penambahbaikan sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Buat masa ini, kita tidak mempunyai perundangan khusus yang mengawal selia e-dagang. Jadi, dalam kebanyakan kes, kita berunding dan menjadi pengantara antara usahawan dalam talian dengan penyedia platform berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Akses Peruncitan 2026 di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas berkata RUU E-Dagang akan dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang sebagai usaha memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian.
Dalam pada itu, Fuziah berkata Program Akses Peruncitan yang menggabungkan latihan dan padanan perniagaan berjaya membantu 1,862 usahawan sejak 2023 hingga kini.
Beliau berkata program berkenaan merangkumi 38 siri latihan dan 21 siri padanan perniagaan, melibatkan 103 jenama tempatan serta 552 unit simpanan stok (SKU).
“Program ini memberi peluang kepada usahawan memasarkan produk mereka dan memahami kriteria yang ditetapkan pasar raya, sekali gus mengenal pasti peluang untuk memasuki rangkaian peruncitan berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA