MALAYSIA

RUU e-dagang lebih komprenhensif dijangka dibentang awal tahun hadapan - Armizan

Ernalisa Othman 17/07/2025 | 08:06 MYT
Armizan bercakap di Sidang Media Sempena Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan E-Dagang di Putrajaya pada Khamis. - Foto Ikqwan Lee
PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan platform e-dagang bersifat lebih inklusif pada sidang Parlimen pertama tahun hadapan, sebagai langkah memperkukuh kawal selia sektor berkenaan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan akan bentang RUU baharu berkaitan e-dagang awal tahun hadapan, dengan fokus membina kerangka undang-undang inklusif dan responsif terhadap perkembangan teknologi serta cabaran persaingan global.
  • Antara syor termasuk menggubal akta baharu atau pinda Akta Perdagangan Elektronik 2006, bagi memperkukuh kawal selia, melindungi pengguna dan memastikan perkembangan seimbang antara pemain tempatan dan luar.
  • Kajian semakan semula perundangan e-dagang dijangka selesai Ogos ini, selepas proses libat urus dan penilaian menyeluruh terhadap akta berkaitan seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini kajian semakan semula perundangan e-dagang terbabit berada di fasa akhir.

Ia dijangka dimuktamadkan menjelang Ogos ini.

Setakat ini, beberapa syor telah dikemukakan termasuk cadangan menggubal akta baharu sepenuhnya, memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik 2006, atau meminda akta sedia ada dengan versi yang lebih menyeluruh.

“Syor-syor ini akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri selepas proses libat urus selesai.

"RUU baharu itu dijangka menjadi langkah penting dalam menyesuaikan perundangan negara dengan perkembangan pesat teknologi serta trend perdagangan digital global yang semakin kompleks," katanya.

Beliau berkata demikian di Sidang Media Sempena Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan E-Dagang di Putrajaya pada Khamis.

Kata Armizan lagi, antara cabaran utama sektor e-dagang adalah kehadiran platform luar negara yang tidak tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Ia sekali gus menimbulkan isu persaingan tidak seimbang dengan pemain tempatan.

"Ekonomi negara kita jika dilihat data dari segi nilai pendapatan e-dagang momentumnya dari tahun ke tahun semakin meningkat.

"Kita tidak mahu sebarang pendekatan yang kita laksanakan dalam konteks perundangan ini bersifat mengekang perkembangan sektor e-dagang tersebut.

"Walaupun pada masa yang sama kita harus memastikan supaya perlindungan pengguna itu perlu menjadi keutamaan.

"Untuk kita tampil dengan satu kerangka perundangan yang komprehensif dan inklusif kita perlu memastikan sektor e-dagang ini berkembang sekali gus menyumbang kepada lonjakan ekonomi negara," katanya lagi.

Antara objektif utama kajian itu adalah untuk mengenal pasti perundangan berkaitan e-dagang, skop kawal selia, kekangan undang-undang sedia ada, serta membuat perbandingan dengan pelaksanaan undang-undang e-dagang di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dimulakan sejak April tahun lepas dikatakan akan selesai Ogos ini.

Antara lain bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang lebih responsif dalam mengawal selia industri e-dagang dan melindungi kepentingan pengguna.

Beliau berkata antara akta yang berkait secara langsung dengan sektor e-dagang di bawah kementerian ialah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perdagangan Elektronik 2006.





#Armizan Mohd Ali #E-dagang