RUU Jenayah Siber dijangka dibentangkan Mac ini - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kini sedang memuktamadkan RUU berkenaan untuk menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563].
"Penggubalan RUU Jenayah Siber ini bermatlamat bagi mengatasi kelompangan undang-undang sedia ada dalam menangani ancaman jenayah siber, sekali gus memperkasakan keupayaan penguatkuasaan dan melindungi keselamatan siber negara serta hak pengguna dalam ruang digital.
"RUU Jenayah Siber mengambil pendekatan lebih holistik dan terkini dengan memasukkan peruntukan yang akan merangkumi kedua-dua jenis jenayah siber, iaitu jenayah berbantu siber dan jenayah bersandarkan siber," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Zahid berkata jenayah penipuan dalam talian terus menunjukkan peningkatan ketara dengan kerugian keseluruhan pada tahun lepas dilaporkan melebihi RM2.9 bilion, meningkat lebih 86 peratus berbanding RM1.574 bilion pada 2024.
" ... penyalahgunaan teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI) dalam modus operandi penjenayah siber seperti deepfake dan sebagainya telah mendatangkan mudarat yang amat berbahaya kepada semua mangsa yang terkesan," katanya.
Dalam konteks konflik hibrid, Ahmad Zahid berkata teknologi deepfake berpotensi menjadi pemangkin utama kepada perang maklumat, khususnya melalui penyebaran maklumat salah, maklumat palsu dan malinformation atau maklumat tepat, namun dimanipulasi (MDM) sebagai instrumen operasi psikologi.
Beliau berkata konflik Rusia-Ukraine membuktikan bahawa deepfake dan MDM menjadi komponen utama dalam perang maklumat apabila manipulasi maklumat digunakan untuk membentuk persepsi, melemahkan moral dan mempengaruhi sokongan antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan digital negara, NACSA juga sedang melaksanakan tindakan susulan meliputi teknologi AI, awan berdaulat (sovereign cloud) dan keselamatan pascakuantum melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.
Antara inisiatif itu ialah pembangunan Garis Panduan Keselamatan Siber AI yang berlandaskan prinsip secure-by design (pendekatan keselamatan siber proaktif) serta meningkatkan keselamatan kriptologi dan kesiapsiagaan pascakuantum dengan kerjasama Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM).
Selain itu, NACSA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sedang menerajui pembangunan awan berdaulat bagi menangani risiko bidang kuasa negara asing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


