Skip to main content

Malaysia

RUU Kawalan Padi: Ahli Parlimen cadang perluas kawasan tanaman, guna teknologi moden

61682587191_Pekerjasawahpadi.jpg
Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada beras import kerana sebarang gangguan rantaian bekalan global akibat peperangan atau krisis antarabangsa boleh menjejaskan keselamatan makanan negara. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh industri padi negara termasuk memperluas kawasan tanaman, penggunaan teknologi moden, menambah baik mekanisme harga lantai serta mempertingkatkan perlindungan terhadap pesawah.

Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026, yang disokong mereka dengan beberapa syor penambahbaikan.

Datuk Matbali Musah (GRS-Sepitang) berkata Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada beras import kerana sebarang gangguan rantaian bekalan global akibat peperangan atau krisis antarabangsa boleh menjejaskan keselamatan makanan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengenal pasti lebih banyak kawasan baharu berpotensi untuk penanaman padi selain memanfaatkan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), dron, mekanisasi dan sistem pengairan pintar bagi meningkatkan pengeluaran.

“Dalam konteks Sabah, izinkan Sipitang menyatakan bahawa negeri kami masih mempunyai khazanah tanah yang luas dan berpotensi untuk dibangunkan. Di kawasan pantai barat Sabah dari Papar hingga Sipitang sahaja terdapat lebih 4,000 hektar tanah yang dikenal pasti berpotensi.

“Jika kawasan ini dibangunkan secara moden dengan mekanisasi, sistem pengairan pintar dan teknologi baharu, Sabah mampu menjadi antara penyumbang penting bekalan beras negara,” katanya pada sesi itu. 

Beliau turut mencadangkan agar peranan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) diperkasakan menerusi bidang kuasa lebih besar dalam pemantauan bekalan beras, pengumpulan data stok secara masa nyata, penguatkuasaan bersama, perancangan sekuriti makanan negeri serta penyelarasan agihan ketika krisis.

Sementara itu, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata walaupun pindaan itu antara lain bertujuan menyelaraskan kuasa menteri dalam membuat peraturan yang lebih menyeluruh, namun peluasan kuasa berkenaan perlu disertai tahap akauntabiliti yang tinggi.

Beliau berkata formula penetapan harga lantai padi juga perlu mengambil kira kos sebenar pengeluaran termasuk benih, baja, racun, harga diesel, upah pekerja, sewaan jentera serta kos pengairan.

Dalam pada itu, Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata langkah memasukkan pembeli padi dalam kuasa pelesenan perlu disertai perlindungan asas kepada pesawah seperti rekod timbang dan gred padi, tempoh pembayaran serta jaminan kewangan sekiranya pembeli gagal membuat bayaran.

Beliau berkata Malaysia boleh mengambil contoh amalan di Kanada yang mewajibkan syarikat bijirin berlesen menyediakan sekuriti bagi melindungi bayaran kepada pengeluar, selain dokumen penghantaran yang merekodkan gred, berat dan tarikh penghantaran.

"Malaysia perlu mewajibkan pembeli padi berlesen mengeluarkan rekod lengkap, membayar dalam tempoh ditetapkan serta menyediakan jaminan kewangan yang munasabah," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata kerajaan mencadangkan hukuman lebih berat termasuk menaikkan kadar denda hingga RM1 juta bagi membendung penyelewengan dalam industri padi dan beras.

Sebanyak 20 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan petang ini sebelum persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan dan bersambung pada Isnin depan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement