'RUU Keselamatan Dalam Talian dijangka dibentang sidang Parlimen akan datang'

Bernama
Mac 19, 2024 06:20 MYT
Nie Ching berkata jawatankuasa bagi mengkaji undang-undang baharu itu telah ditubuhkan dan sesi perbincangan juga sedang dilaksanakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sedang diperhalusi dan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Kabinet telah memutuskan supaya Akta Keselamatan Dalam Talian diwujudkan dan Kementerian Komunikasi serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri diarah mengkaji keperluan akta itu.
Beliau berkata jawatankuasa bagi mengkaji undang-undang baharu itu telah ditubuhkan dan sesi perbincangan juga sedang dilaksanakan.
"Ada kemungkinan RUU ini boleh dibawa pada Parlimen, diluluskan pada sidang (Parlimen) akan datang...ini sedang diusahakan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan berhasrat menggubal akta mengenai keselamatan dalam talian selain menjadikan aduan atau laporan orang awam di media sosial sebagai laporan maklumat pertama (FIR) untuk tindakan lanjut.
#RUU keselamatan dalam talian #Sidang Parlimen #Teo Nie Ching #keselamatan siber