KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi keselamatan sosial kepada suri rumah berinsurans dalam bentuk faedah tertentu, meningkatkan kesihatan, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan suri rumah, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut rang undang-undang itu, satu skim akan diwujudkan bagi tujuan berkenaan yang dikenali sebagai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Rang undang-undang itu menyebut suri rumah yang mencarum dalam skim itu berhak mendapat faedah hilang upaya seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.

Suri rumah berinsurans atau orang tanggungannya juga berhak kepada faedah keilatan iaitu elaun keuzuran, elaun layanan sentiasa, pencen penakat serta faedah pengurusan mayat.

Rang undang-undang itu antara lain mencadangkan amaun maksimum bagi faedah hilang upaya kekal ialah RM30,000 dibayar dalam suatu tempoh caruman suri rumah terbabit.

Tuntutan bagi faedah di bawah rang undang-undang itu hanya boleh dibuat sekiranya kejadian berkaitan berlaku dalam negara.

Menurut rang undang-undang itu, caruman berkenaan boleh dibayar oleh suami dan juga boleh dibayar oleh suri rumah itu sendiri.

Suri rumah berinsurans yang mencarum akan terus dilindungi sekiranya bercerai dengan suami, atau dalam kematian suami, atau suami tidak berupaya untuk membayar caruman disebabkan kehilangan pendapatan atau sebab-sebab lain sehingga tamat tempoh caruman itu.

Rang undang-undang itu dibentang oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan yang menyatakan bacaan kali kedua akan dibentang pada persidangan sama.

Turut dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini ialah Rang Undang-undang Mahkamah Kehakiman 1964 (Pindaan) dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika mengemukakan kedua-dua rang undang-undang itu memaklumkan bacaan kali kedua akan diadakan pada mesyuarat kali ini.

-- BERNAMA