Skip to main content
Advertisement

Malaysia

RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 perkukuh simpanan antara generasi negara - MOF

Kementerian Kewangan_FB Kementerian Kewangan
Advertisement

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi negara bagi memastikan rizab kewangan berkekalan untuk generasi kini dan masa depan. 

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini, langkah itu merupakan pembaharuan menyeluruh pertama terhadap KWAN sejak penubuhannya pada 1988. 

“Pembaharuan yang dibawa dalam RUU ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh pengurusan kewangan awam, memelihara kekayaan negara secara mampan serta memastikan hasil negara hari ini turut memberi manfaat kepada generasi masa depan,” katanya.   

Selaras dengan agenda reformasi ekonomi kerajaan, RUU ini menggariskan pembaharuan penting bagi memperkukuh tadbir urus, disiplin fiskal dan daya tahan kewangan negara demi kepentingan rakyat dan generasi masa depan, menurut MOF.

Melalui RUU itu, dicadangkan penubuhan sebuah Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sebagai sebuah badan berkanun yang menggantikan struktur panel sedia ada, dengan lembaga yang bertanggungjawab mentadbir, mengurus dan melabur Kumpulan Wang.

Dalam tempoh peralihan, pengurusan dana Kumpulan Wang akan terus ditadbir dan diurus oleh Bank Negara Malaysia yang telah menjalankan peranan itu sejak penubuhan KWAN bagi memastikan kesinambungan.

Di bawah pengurusan BNM, Kumpulan Wang telah berkembang kepada RM22.43 bilion pada akhir tahun 2024 dan dalam tempoh peralihan, tiada gangguan kepada pelaburan, kontrak dan operasi Kumpulan Wang, semua aset akan berpindah kepada badan baharu melalui penguatkuasaan undang-undang.

Menurut MOF, buat kali pertama, RUU itu memperkenalkan peruntukan yang mengikat bagi sumbangan, penggunaan dan pelaburan.

Di bawah sumbangan berkanun, Kerajaan Persekutuan diwajibkan menyumbang sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada hasil tahunan yang diunjurkan selain 2.0 peratus daripada dividen Petronas yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, 2.0 peratus daripada duti eksport sumber menyusut yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan setelah menolak penyerahhakan kepada Kerajaan Negeri. 

“Kadar ini merupakan kadar minimum. Kerajaan Persekutuan boleh menambah sumbangan pada bila-bila masa,” menurut MOF.

Di bawah disiplin penggunaan, ia dihadkan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim manakala pengeluaran tahunannya tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kadar pulangan benar jangka masa panjang yang dijangka supaya prinsipal terpelihara dan terus berkembang.

“Pengeluaran melebihi had memerlukan kelulusan Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut MOF, Kumpulan Wang akan dilaburkan secara berhemat merentasi kelas aset yang dibenarkan berpandukan Perumpukan Aset Strategik yang diluluskan oleh menteri. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan sama berkata: “Sumber yang kita nikmati hari ini bukan milik kita semata-mata. Kita memegangnya sebagai amanah untuk generasi masa depan.”

Beliau berkata melalui RUU ini, kerajaan memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi dengan memastikan sumber sumbangan yang lebih konsisten, penggunaan yang lebih berdisiplin dan tadbir urus lebih kukuh. 

“Ini akan membolehkan lebih banyak kekayaan negara dipelihara dan dapat diwariskan kepada generasi Malaysia pada masa depan,” katanya.

RUU yang berpaksikan hasrat jelas untuk mewujudkan rizab kewangan jangka panjang itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen dan seterusnya akan dibentangkan di Dewan Negara.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement