Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

RUU Pekerja Gig 2025: Aspek perlindungan sosial jelas, wujud mekanisme selesai pertikaian

Astro Awani 26/08/2025 | 08:48 MYT
RUU dibentangkan KESUMA ini akan menjamin aspek pendapatan, perlindungan sosial serta menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih jelas buat pekerja gig. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Tegas mereka, RUU ini tidak boleh lagi ditangguhkan kerana ia menyentuh soal perlindungan lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.

“RUU ini satu langkah bersejarah bagi membina pasaran kerja moden, teratur dan berdaya saing khususnya untuk sektor gig yang semakin berkembang,” kata Syed Saddiq dan Hassan Abdul Karim, dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.

Jelas Syed Saddiq, perjuangan melindungi kebajikan pekerja gig dilancarkan sejak beliau sendiri mendengar keluhan komuniti berkenaan.

“Ramai yang bekerja keras tetapi hidup tanpa jaminan pendapatan tetap, tanpa perlindungan sosial dan terdedah kepada pelbagai risiko,” katanya.

Syed Saddiq turut mengimbas kembali tragedi kemalangan udara membabitkan pesawat Beechcraft Model 390 di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Ogos 2023 yang mengorbankan seorang pemandu e-hailing.

“Keluarga mangsa bukan sahaja kehilangan orang tersayang, malah hilang tempat bergantung kerana ketiadaan perlindungan sosial. Inilah realiti getir pekerja gig hari ini,” tegas Syed Saddiq.

Hassan pula menekankan kelemahan undang-undang sedia ada yang menafikan hak pekerja gig untuk membawa kes ke mahkamah buruh.

“Keputusan Mahkamah pada 2022 membuktikan mereka tidak diiktiraf sebagai pekerja. Ini bermaksud mereka tidak dilindungi oleh mana-mana undang-undang buruh meskipun berdepan cabaran besar dalam pekerjaan,” jelasnya.

RUU dibentangkan KESUMA ini merupakan pengiktirafan secara rasmi pekerja gig buat julung kalinya dalam undang-undang negara.

Antara lain, fokus utama ini menjamin aspek pendapatan, perlindungan sosial serta menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih jelas buat pekerja gig.

“RUU ini akan memberi kepastian status pekerja gig, meningkatkan daya saing sektor, menjamin kebajikan tanpa menjejaskan fleksibiliti, dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem digital Malaysia.

"Kami menyeru semua Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan menyokong RUU ini. Tiada rakyat harus tercicir dalam arus transformasi ekonomi baharu,” ujar mereka.



#KESUMA #RUU Pekerja Gig 2025 #Syed Saddiq #perlindungan sosial pekerja gig