MALAYSIA
RUU Pekerja Gig hanya perkukuh perlindungan, tidak kekang fleksibiliti

Steven berkata RUU tersebut juga mewajibkan caruman Pertubuhan
Keselamatan Sosial (PERKESO) secara automatik.
KUALA LUMPUR : Fleksibiliti pekerja gig di Malaysia tidak akan terjejas meskipun Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan, sebaliknya akan memberi lebih kepastian dan perlindungan kepada mereka.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata RUU berkenaan hanya memperkenalkan garis panduan yang lebih jelas berkaitan kontrak antara syarikat platform dan pekerja gig.
“RUU ini tidak mengubah status mereka dan pekerja gig kekal dengan sifat kerja yang fleksibel, cuma kali ini ada takrifan jelas serta perlindungan yang lebih baik,” ujar Steven.
Tambahnya, sebelum ini ada kontrak yang tidak menyatakan perkara asas dengan jelas, sekali gus menimbulkan kekeliruan kepada pekerja.“Selepas adanya RUU ini, setiap entiti kontrak termasuk syarikat platform perlu menyenaraikan dengan jelas isu-isu penting seperti kadar bayaran, supaya tidak timbul keraguan.
“Ini bukan sahaja soal ketelusan, tetapi juga kepastian kepada pekerja gig,” katanya.
Mengulas lanjut, Steven berkata RUU tersebut juga mewajibkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) secara automatik.
Antara perubahan besar lain yang diperkenalkan adalah penubuhan majlis rundingan tripartit yang dianggotai kerajaan, majikan, dan wakil pekerja.
Katanya, sebaik sahaja RUU itu diluluskan, pekerja gig di Malaysia selepas ini bakal mempunyai hak untuk turut menentukan secara bersama dengan penyedia platform atau majikan kadar upah dan bayaran.
“Apabila wakil pekerja turut diberi kuasa, kadar bayaran yang ditetapkan akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis itu.
“Pemegang taruh industri, termasuk pekerja sendiri yang memahami realiti di lapangan, akan menentukan hala tuju kadar bayaran yang munasabah,” katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Rabu.
Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bertujuan membela nasib 1.2 juta pekerja gig di negara ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, Isnin (25 Ogos) lalu.
Ia juga akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Khamis (27 Ogos). RUU berkenaan mempunyai empat komponen asas melibatkan definisi pekerja gig, mekanisme kilanan, isu kadar bayaran dan keselamatan sosial.
Antara lain, RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi mekanisme penyelesaian pertikaian, menubuhkan Majlis Perundingan dan penubuhan Tribunal Pekerja Gig.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami