MALAYSIA

RUU Pembaharuan Semula Bandar: KPKT buat pindaan termasuk nilai ambang persetujuan

Bernama 28/08/2025 | 11:31 MYT
Nga berkata pindaan pada Fasal 19 itu bagi menghormati dan menyantuni pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Dewan Rakyat melalui sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lepas.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan pindaan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) termasuk berhubung nilai ambang persetujuan untuk menyertai projek pembaharuan semula bandar.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata pindaan pada Fasal 19 itu bagi menghormati dan menyantuni pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Dewan Rakyat melalui sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lepas.

Beliau berkata kesemua nilai ambang itu diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan dengan kenaikan nilai daripada 75 peratus masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberikan ruang pertimbangan bagi melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak terlibat.

"Di samping itu, kita mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk antaranya isu hak milik yang dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya, isu hak milik yang mengalami Non-Performing Loan (NPL) daripada institusi kewangan, isu suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli serta isu pemilik asal tidak dapat dikesan," katanya.

Nga berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, RUU itu tidak dibahaskan pada sidang kali ini dan akan dibawa ke sesi akan datang.

#KPKT #Nga Kor Ming #URA #RUU Pembaharuan Semula Bandar