MALAYSIA

RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu untuk bina kediaman lebih selesa - Anwar

Bernama 28/08/2025 | 05:50 MYT
Perdana Menteri menunjukkan gambar bangunan rumah yang daif termasuk dalam pelan Malaysia Pembaharuan Semula Bandar selepas sesi soal jawab pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 perlu dilaksanakan bagi memberikan ruang kepada projek pembinaan semula kediaman yang lebih selesa untuk kesejahteraan rakyat.


Ringkasan AI
  • RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bertujuan membina semula kediaman rakyat yang lebih selesa, termasuk menggantikan rumah satu bilik kepada minimum tiga bilik.
  • Perdana Menteri menegaskan RUU ini bukan untuk merampas rumah rakyat atau memecah demografi kaum, sebaliknya untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan bandar yang seimbang.
  • Kerajaan terbuka kepada penambahbaikan RUU PSB dan menyeru pembangkang untuk memberi cadangan konstruktif, bukan menyebar persepsi negatif.


" ... tidak boleh kita biar pembangunan bandar ada Twin Tower (Menara Berkembar), semua ada, kemudian rumah merempat macam itu (tidak selesa), tidak boleh, kita kena lihat dari segi konteks itu, jadi RUU ini mesti dilakukan.

"Beri ruang kepada kerajaan untuk bangunkan rumah yang lebih selesa, sesuai dengan masa bagi kebanyakan rakyat, majoritinya Melayu, PSB ini dalam perjanjiannya rumah yang dimiliki akan diganti dengan rumah yang jauh lebih baik, kalau ada satu bilik, diganti dengan minimum tiga bilik," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) mengenai RUU PSB yang didakwa membolehkan sesebuah kediaman dirobohkan dan dibangunkan semula secara paksa selepas hanya 30 tahun.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai pengalaman melihat sendiri keadaan perumahan yang teruk di Flat Seri Perlis di ibu negara.

"Di Seri Perlis, saya pergi tengok rumah satu bilik, teruk benar, ada satu keluarga, ada dua keluarga dan inilah tanggungjawab kita cari jalan untuk bangunkan semula dengan tiga bilik dan lebih sesuai untuk keluarga," kata beliau.

Anwar berkata isu perumahan rakyat sangat dekat dengan beliau dan kerajaan tidak boleh mengetepikan isu berkenaan, terutama apabila negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi menggalakkan.

Perdana Menteri turut menyelar sikap segelintir pihak yang cuba mewujudkan persepsi negatif antaranya melibatkan kaum termasuk kononnya RUU itu bertujuan memecahkan demografi majoriti Melayu kepada bukan Melayu.

"Saya hendak tanya, sejak kita ambil alih kerajaan, dengan penyertaan DAP, kawasan mana yang kita serah (kepada bukan Melayu)?

"Jangan kata kita nak ketepikan, tindas orang Melayu ... saya bukan boneka, saya ada mandat dan perlu pertahankan kepentingan Melayu, bumiputera yang majoriti," kata beliau.

Anwar berkata pihak terlibat termasuk pembangkang perlu mengemukakan syor penambahbaikan, bukannya membuat dakwaan kononnya kerajaan mahu merampas rumah didiami rakyat bagi memberikan laluan kepada pembangunan semula.

"Saya tidak kata undang-undang yang dicadangkan sebagai sesuatu yang sempurna. Kita masih boleh buat pelarasan, soal nilai ambang misalnya boleh dibincangkan semasa perbahasan nanti," kata beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan RUU PSB itu.

Pembentangan RUU PSB bagi bacaan kali kedua berada pada senarai ketujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA




#Anwar Ibrahim #RUU Pembaharuan Semula Bandar #Dewan Rakyat #Bumiputera #terkini