MALAYSIA

RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 dibentang bagi bacaan kali pertama

Bernama 28/07/2025 | 06:50 MYT
RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah dengan meminda takrif "pendidikan wajib" dalam Akta Pendidikan 1996. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 antaranya bagi mewajibkan pendidikan menengah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.


Ringkasan AI
  • RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah dengan meminda takrif "pendidikan wajib" dalam Akta Pendidikan 1996.
  • Ibu bapa wajib memastikan anak yang merupakan warganegara dan tinggal di Malaysia didaftarkan serta terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan menengah, dengan penalti denda hingga RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal.
  • RUU ini melibatkan perbelanjaan tambahan kerajaan dan menekankan pendekatan advokasi serta kesedaran sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap keciciran pendidikan.


Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan kali ini.

RUU itu antaranya bertujuan meminda Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi menggantikan takrif "pendidikan wajib" supaya termasuk pendidikan menengah.

Ia juga bagi memasukkan seksyen baharu 32A yang memperuntukkan tiap-tiap ibu bapa yang anaknya merupakan warganegara dan anak itu tinggal di Malaysia, hendaklah memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan bagi pendidikan menengah dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan menengah.

Selain itu, seksyen itu turut memperuntukkan penalti bagi pelanggaran pindaan yang dicadangkan iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

RUU itu akan melibatkan perbelanjaan wang tambahan kerajaan yang amaunnya belum dapat ditentukan lagi.

-- BERNAMA



#Dewan Rakyat #Rang Undang-Undang #RUU Pendidikan Pindaan #mewajibkan pendidikan menengah #Akta Pendidikan 1996