KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim Negara tidak mencerminkan keutamaan yang sewajarnya ditumpukan oleh Malaysia untuk menangani kesan perubahan iklim.
Penasihat Kanan Pembangunan Lestari Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Dr. Hezri Adnan berkata, RUU lebih tertumpu kepada aspek mitigasi, sedangkan negara lebih memerlukan langkah adaptasi kepada perubahan iklim.
"Kita perlu beri pendekatan seimbang terhadap mitigasi dan adaptasi perubahan iklim; mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau. Selain tu, kesiapsiagaan tangani impak perubahan iklim; hujan ekstrem.
“Kandungan Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim lebih berat kepada mitigasi; kurangkan pelepasan gas rumah hijau. Sedangkan Malaysia hanya lepaskan 0.8 peratus gas berkenaan. Tetapi pada masa yang sama, Malaysia sudah rasa impak perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
RUU Perubahan Iklim tidak cerminkan keutamaan sebenar diperlukan Malaysia – Penasihat Kanan UNDP
Dalam temu bual yang sama, Pengurus Program RimbaWatch, Koong Hui Yein pula berpandangan, RUU terbabit perlu menetapkan agensi khusus untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan.
“RUU ini sepatutnya menetapkan satu agensi yang bertanggungjawab berkaitan langkap adaptasi perubahan iklim dan wujudkan sumber kewangan khas untuk pemantauan.
“Bagi tujuan mitigasi, RUU perlu tetapkan had dalaman dan sektor untuk kurangkan pelepasan gas rumah hijau, bagi kurangkan risiko suhu meningkat lebih 1.5 darjah celsius. Pun begitu, kami bimbang kandungan RUU ini tidak mencukupi,” katanya.
Tambah Hui Yein, kerajaan juga perlu memperkenalkan bajet karbon kebangsaan, mengurangkan kebergantungan kepada bahan fosil dan memelihara ekosistem sedia ada.
Pada 2 September, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menerbitkan laporan Limiting Overshoot: Navigating Exceedance of 1.5°C and Pathways Towards Return. Ia dilancarkan sebagai laporan khas yang meneliti implikasi dunia yang dijangka melepasi had pemanasan global 1.5°C serta pilihan dasar dan tindakan yang masih ada untuk mengehadkan kesannya dan mengembalikan suhu global ke bawah paras tersebut.
Menurut UNEP, laporan itu diterbitkan ketika konsensus saintifik menjangkakan suhu dunia akan meningkatkan melepasi sasaran 1.5°C dalam tempoh beberapa tahun akan datang di bawah trajektori semasa, sekali gus menjadikan strategi "overshoot, peak and decline" sebagai laluan terbaik yang masih tersedia untuk meminimumkan risiko iklim.
Agenda AWANI: Bumi Makin Panas, Masa Untuk Bertindak