[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

RUU Pindaan Akta Perlindungan Saksi dijangka dibentang di Parlimen Jun ini - Azalina

Bernama 21/04/2025 | 08:30 MYT
Azalina menekankan kepentingan kes perlindungan saksi diselesaikan segera. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perlindungan Saksi, dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen pada Jun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ringkasan AI
  • RUU Pindaan Akta Perlindungan Saksi dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun depan, bersama beberapa RUU lain termasuk RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025.
  • Azalina Othman Said menekankan kepentingan kes perlindungan saksi diselesaikan segera dan telah mengadakan kunjungan ke negara ASEAN untuk mendapatkan input mengenai RUU Insolvensi Rentas Sempadan.
  • Kerajaan mengkaji lebih 2,000 undang-undang lapuk untuk memastikan relevansi dengan peredaran masa, termasuk elemen tandatangan digital di bawah akta kontrak.

Beliau berkata RUU lain yang akan dibentang ialah RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025; RUU Bantuan Guaman dan Perkhidmatan Pembela Awam (yang akan menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971); serta Akta Pengantaraan (pindaan) 2025.
"RUU Perlindungan Saksi ini isu kita yang paling besar, kerana kalau kes itu melibatkan ada mendapat perlindungan saksi, kes itu mesti jadi keutamaan, tak boleh disimpan (tangguh) lama-lama.
"Ada beberapa saksi itu disimpan dalam beberapa tahun, saya tak begitu setuju sebab alasannya kes ditangguh, itu sebab saya nak maklum, kalau kes-kes tersebut di bawah senarai perlindungan saksi, ia perlu menjadi keutamaan untuk diselesaikan segera.
"Itu harapan saya, kalau tidak, tak masuk akal kita kategorikan dalam perlindungan saksi," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, JPM, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Azalina berkata beliau telah mengadakan kunjungan ke negara-negara ASEAN untuk bertemu dengan menteri undang-undang dan kehakiman negara berkenaan bagi mendapatkan input berkaitan mengenai RUU Insolvensi Rentas Sempadan.
"Macam cross border insolvency, dengan adanya ASEAN Law Forum, kita hendak dapatkan komitmen daripada negara-negara dalam ASEAN," katanya.
Sementara itu Azalina berkata kerajaan telah mengkaji lebih 2,000 undang-undang lapuk bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa, antaranya melibatkan elemen tandatangan digital di bawah akta kontrak.
"Saya bagi contoh macam isu undang-undang kontrak, sekarang kita pakai banyak digital signature, undang undang kontrak, yang kita ada tu kadang-kala dia tak boleh liputi aspek digital secara menyeluruh," katanya dan menambah kira-kira 164 undang-undang lapuk yang lain masih belum dikaji.
-- BERNAMA
#Rang Undang-Undang #Pindaan Akta Perlindungan Saksi #Azalina Othman Said #dibentang di Parlimen #terkini