MALAYSIA

RUU PSB perlu diperhalusi, jangan biar rakyat sengsara - Johari

Khalis Khadir 05/09/2025 | 01:40 MYT
Johari menegaskan bahawa RUU berkenaan tidak sepatutnya menindas mana-mana pihak, terutamanya rakyat. - Foto fail/BERNAMA
LANGKAWI: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu dikaji semula agar tidak menjejaskan penduduk, khususnya di kawasan berpenduduk padat dan berhad tanah seperti Kuala Lumpur, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Ringkasan AI
  • Johari Abdul Ghani gesa kajian semula terhadap RUU Pembaharuan Semula Bandar agar tidak menjejaskan penduduk, khususnya di Kuala Lumpur yang berhad tanah.
  • Beliau beri amaran bahawa pengalaman terdahulu seperti Flat Tun Razak dan Sungai Baru menunjukkan kegagalan pemantauan boleh menyebabkan rakyat sengsara.
  • Pasukan khas UMNO akan memperhalusi setiap aspek RUU sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar hujung September ini.


Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan RUU tersebut mesti diperhalusi bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat secara adil.

“RUU ini tidak boleh digesa. Soal penempatan semula di Kuala Lumpur sangat besar kerana tanah terhad. Malah, 139 lokasi dikenal pasti untuk pembangunan semula menimbulkan persoalan - ke mana penduduk akan ditempatkan?” katanya.

Johari turut menyatakan bahawa UMNO menerima banyak maklum balas daripada ahli parti, khususnya orang Melayu, yang meminta agar akta ini diteliti semula.

“Kita perlu teliti dan terima hakikat dalam aspek pembangunan negara apabila kita sudah 68 tahun merdeka,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) melabuhkan tirai pada Khamis.

Sebagai Ketua Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB, Johari menjelaskan bahawa isu penempatan semula mungkin tidak menjadi masalah besar di negeri-negeri lain yang masih mempunyai banyak tanah, tetapi situasinya berbeza di Kuala Lumpur.

“Akta ini digubal untuk seluruh negara, tetapi Kuala Lumpur agak berbeza. Negeri lain seperti Selangor masih ada tanah dan hutan, tetapi Kuala Lumpur tidak,” katanya.

Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi serta menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, menegaskan bahawa RUU berkenaan tidak sepatutnya menindas mana-mana pihak, terutamanya rakyat.

“Apabila kita mahu bangunkan kawasan seperti ini, kita perlu memindahkan orang. Persoalannya, pindah ke mana?”

Beliau turut mengingatkan agar pemaju tidak mengambil mudah isu penempatan semula, merujuk kepada pengalaman pembangunan semula Flat Tun Razak.

“Penduduk dipindahkan ke Desa Rejang dan sebahagian ke flat DBKL, tetapi unit asal mereka di Tun Razak tidak dikembalikan walaupun sudah lebih 15 tahun. Ini menimbulkan ketakutan.”

Tambahnya, insiden serupa berlaku di Sungai Baru, di mana penduduk telah dipindahkan sejak lapan tahun lalu namun projek tidak dapat diteruskan kerana tiada pemantauan pelaksanaan yang berkesan.

“Akhirnya, rakyat juga yang sengsara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pada Rabu memaklumkan bahawa pasukan khas UMNO akan meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum ia dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung September ini.





#JOHARI ABDUL GHANI #RUU PSB #Flat Tun Razak #UMNO