Skip to main content

Malaysia

RUU Statistik 2026 bukti komitmen kerajaan perkukuh sistem statistik negara - Akmal Nasrullah

JOHOR BAHRU, 30 Mei -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru 2026 di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha kerajaan membangunkan sistem statistik negara yang lebih terselaras, berintegriti dan responsif. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha kerajaan membangunkan sistem statistik negara yang lebih terselaras, berintegriti dan responsif. 

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata RUU Statistik 2026 tersebut juga dijangka memperkukuh penggubalan dasar berasaskan bukti, penyampaian perkhidmatan awam dan perancangan pembangunan negara.

Katanya, RUU Statistik 2026 itu bukan sekadar memperbaharui undang-undang lama tetapi memperkukuh keupayaan negara dalam menghasilkan statistik rasmi yang terselaras, berkualiti dan dipercayai.

“Data yang baik mesti membawa kepada dasar yang lebih tepat, perkhidmatan yang lebih berkesan dan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Akmal Nasrullah membentangkan RUU Statistik 2026 itu sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas ia dibahaskan oleh 21 Ahli Parlimen. 

RUU Statistik 2026 tersebut akan menggantikan Akta Perangkaan 1965 [Akta 415] yang telah menjadi asas perundangan statistik negara selama lebih 60 tahun.

Akmal Nasrullah menambah, ia mengandungi 22 fasal, yang antara lain memperincikan fungsi Jabatan Perangkaan Malaysia, penubuhan Majlis Statistik Negara, kaedah pengumpulan dan permintaan data, penerbitan serta komunikasi statistik, perlindungan kerahsiaan, kuasa membuat peraturan dan pemansuhan Akta Perangkaan 1965.

Pada masa sama, RUU Statistik 2026 itu tidak mengambil alih atau mengubah bidang kuasa kementerian dan agensi.

Sebaliknya, katanya, setiap kementerian dan agensi kekal sebagai pemilik data pentadbiran, pemilik domain dan peneraju statistik sektoral masing-masing. 

Jelasnya, penggubalan RUU Statistik 2026 itu adalah hasil penilaian dasar yang dilaksanakan sejak 2016 dan tujuh sesi libat urus bersama kementerian, jabatan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, pemain industri dan sektor swasta.

Selain itu, beliau berkata penggubalannya turut mengambil kira piawaian statistik antarabangsa, amalan terbaik global dan perkembangan semasa dalam ekosistem data. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement