RUU Suruhanjaya Keharmonian tidak diteruskan - Halimah Saddiq

Bernama
Ogos 5, 2020 20:14 MYT
Halimah berkata penelitian mendapati kebanyakan fungsi yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu bertindih dengan akta serta peraturan sedia ada.
Rang Undang-Undang berkaitan Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional bagi menangani isu sentimen perkauman tidak akan diteruskan, Dewan Rakyat diberitahu semalam.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani isu berkaitan agama dan kaum ketika ini.
Beliau berkata hasil penelitian mendapati kebanyakan fungsi yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu bertindih dengan akta serta peraturan sedia ada.
"Oleh kerana banyak berlaku pertindihan, kerajaan putuskan tidak berhasrat untuk menggubal satu lagi undang-undang (Rang Undang-Undang Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional) baharu yang dikatakan adil dan lengkap kerana akta sedia ada sudah mencukupi.
"Negara sudah pun ada undang-undang yang mencukupi untuk menjaga keharmonian antara kaum dan agama, mereka yang sengaja memecahbelahkan perpaduan serta keharmonian boleh disiasat dan didakwa di bawah akta-akta itu," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu.
#Dewan Rakyat #Halimah Mohamed Sadique #isu berkaitan agama dan kaum #Rang Undang-Undang #Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi #Yang di-Pertuan Agong