[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

RUU Tadbir Urus AI perkenal tanggungjawab undang-undang kepada pelaksana - Wilson

Bernama 20/01/2026 | 08:30 MYT
Wilson berkata RUU itu dibangunkan berasaskan prinsip tadbir urus termasuk akauntabiliti merentas keseluruhan kitar hayat AI dengan tahap tanggungjawab ditentukan mengikut risiko sistem. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang dibangunkan akan memperkenalkan pengenaan tanggungjawab undang-undang kepada pihak yang membangunkan dan melaksanakan sistem AI bagi mengurus risiko serta mencegah sebarang bentuk kemudaratan.


Ringkasan AI
  • RUU Tadbir Urus Kecerdasan Buatan akan memperkenalkan tanggungjawab undang-undang kepada pihak yang membangunkan AI untuk mencegah kemudaratan serta mengurus risiko sistem AI.
  • Undang-undang AI akan menekankan tanggungjawab yang jelas dan telus, dengan fokus pada keupayaan undang-undang, niat, dan sebab munasabah bagi memastikan akauntabiliti penuh pengguna dan pihak yang terjejas.
  • Pejabat AI Kebangsaan telah membentuk kumpulan kerja kolaboratif untuk memastikan pembangunan AI negara inklusif, melibatkan pakar dari pelbagai sektor dan diaspora Malaysia di luar negara.


Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata RUU itu dibangunkan berasaskan prinsip tadbir urus termasuk akauntabiliti merentas keseluruhan kitar hayat AI dengan tahap tanggungjawab ditentukan mengikut risiko sistem.

"RUU ini menekankan tanggungjawab yang jelas dan telus bagi pihak berkaitan supaya pihak yang wajar dipertanggungjawabkan dapat dikenal pasti melalui rantaian penguasaan, pengendalian dan kawalan sistem," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu bagaimana undang-undang AI akan mengatasi isu perundangan seperti keupayaan dari segi undang-undang, niat dan sebab munasabah supaya sistem boleh dipertanggungjawabkan secara langsung oleh pengguna serta pihak yang hak asasinya terjejas.

Wilson berkata isu berkaitan keupayaan dari segi undang-undang, niat dan sebab munasabah juga menjadi antara fokus utama dalam RUU itu, dengan penelitian mendalam sedang dijalankan termasuk mengambil kira standard antarabangsa serta konsultasi bersama-sama pemegang taruh.

Beliau berkata pada masa sama, sebarang kesan negatif AI akan diurus melalui undang-undang sedia ada mengikut konteks isu, manakala tadbir urus sistem AI pula akan diperkukuh menerusi Akta Tadbir Urus AI yang bakal diperkenalkan.

Akta itu turut menekankan pemerkasaan hak asasi manusia serta perlindungan individu sebagai asas utama dalam pertimbangan akauntabiliti bagi memastikan pembangunan digital selaras dengan keadilan, keselamatan, maruah insan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sementara itu, Wilson berkata Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital telah menubuhkan tujuh kumpulan kerja sejak Januari 2025 yang menghimpunkan 170 pakar pelbagai sektor sebagai platform kolaboratif bagi memastikan pembangunan AI negara inklusif dan beretika.

Kumpulan itu turut melibatkan wakil sektor awam, swasta dan industri, akademik, masyarakat sivil termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), selain pakar antarabangsa serta diaspora Malaysia di luar negara.

Beliau berkata penglibatan pelbagai pihak itu penting bagi memastikan strategi AI negara tidak digerakkan secara sehala, sebaliknya dibangunkan berdasarkan input menyeluruh ekosistem untuk memacu ekonomi negara.

Wilson berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Khoo yang membangkitkan kebimbangan mengenai penyalahgunaan AI serta isu pertanggungjawaban apabila berlaku kesalahan selain turut meminta kementerian mengemukakan senarai ahli kumpulan kerja itu, termasuk pakar undang-undang dan hak asasi manusia.

-- BERNAMA



#RUU Tadbir Urus AI #Wilson Ugak Kumbong #undang-undang AI #Malaysia