RWMF 2022: Kampung Budaya kembali bergema dengan alunan muzik dunia!

Astro Awani
Jun 16, 2022 20:59 MYT
Persiapan akhir sedang giat dijalankan termasuk memperkemaskan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan festival tiga hari itu berjalan lancar. - Gambar/ Astro AWANI
KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau lebih dikenali sebagai Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022 kembali menghimpunkan pencinta muzik dari serata pelusuk dunia di Kampung Budaya Sarawak, Kuching.
Festival tahunan Bumi Kenyalang yang berlangsung selama tiga hari bermula esok sehingga 19 Jun pastinya menjanjikan pengalaman manis dengan pelbagai program serta persembahan artis budaya dari lebih 20 buah negara.
Antara yang bakal memeriahkan acara pembukaan malam pertama RWMF 2022 adalah Kevin Locke dari Amerika Syarikat, Dong Lusheng (China), Joey Ayala (Filipina), ASZA (Kanada) dan Trad Attack (Estonia).
Barisan artis antarabangsa ini turut disertai pengkarya tempatan antaranya Jerry Kamit, Mathew Ngau Jau, Salomon Jau, Alena Murang serta gadis cilik berusia 11 tahun, Nikita Sarna.
Selain persembahan pentas, edisi penganjuran RWMF ke-25 kali ini turut padat dengan bengkel, pameran serta aktiviti jualan seperti produk kraftangan, makanan budaya dan bermacam lagi.
Dalam tinjauan Astro AWANI di Kampung Budaya pada Khamis, persiapan akhir sedang giat dijalankan termasuk memperkemaskan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan festival tiga hari itu berjalan lancar.
Khemah-khemah, pemeriksaan teknikal, laluan-laluan khas serta kelancaran trafik juga dipastikan terjaga sepanjang penganjurannya.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket di saat-saat akhir, boleh layari rwmf.net untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Astro AWANI berada di lokasi untuk membawakan pelbagai cerita menarik yang boleh dikongsikan sepanjang festival berlangsung.
#Sarawak #Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia #Rainforest World Music Festival #RWMF
;