KOTA KINABALU: Sabah membenarkan solat sunat Aidiladha serta pelaksanaan ibadat korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata solat sunat itu dibenarkan dengan kapasiti satu pertiga daripada keluasan dewan utama solat atau 50 orang jemaah atau mana yang lebih rendah.

"Ia juga tertakluk dengan syarat iaitu bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksin sahaja, serta syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Keputusan ini bagaimanapun tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan ibadat korban, beliau berkata kebenaran diberi di kawasan yang bukan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Namun begitu, ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tujuan pelaksanaan," katanya.

Lokasi penyembelihan yang dibenarkan adalah di rumah sembelihan, rumah penyembelihan ruminan swasta berlesen, masjid dan surau dengan kelulusan pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Selain itu, penyembelihan turut dibenarkan di kawasan-kawasan lapang seperti balai raya dan dewan yang bersesuaian, tertakluk kepada kelulusan.

"Bagi permohonan di lokasi lain selain daripada masjid atau surau perlu memohon kebenaran kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan lebih awal," katanya.

Bagi jumlah haiwan sembelihan di masjid atau surau, katanya ia tidak lebih daripada lima ekor sehari, kecuali kambing iaitu 10 ekor.

"Pengecualian bilangan haiwan ini diberikan di rumah penyembelihan yang dibenarkan.

"Agihan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid atau surau. Agihan akan dibuat kepada pihak-pihak berkenaan melalui cara penghantaran sahaja ke rumah atau kediaman masing-masing," tambahnya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata sebanyak 129 kes positif COVID-19 baharu dikesan hari ini.

Katanya, tujuh kes kematian turut dilaporkan, dua daripadanya dikesan di Tawau manakala Sandakan, Kunak, Kudat, Penampang dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes.