Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Sabah cadang tubuh Majlis Tindakan Belia dan Pemikir Anak Muda - Hajiji

Hasimi Muhamad 11/10/2025 | 06:06 MYT
Hajiji bercakap kepada media selepas hadir Program Tamu Suara: Aspirasi Anak Muda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang menubuhkan Majlis Tindakan Belia dan Pemikir Anak Muda yang berperanan memberi input terus kepada Ketua Menteri berhubung aspirasi serta keperluan generasi muda di negeri ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Sabah bercadang menubuhkan Majlis Tindakan Belia dan Pemikir Anak Muda, bagi memberi input terus kepada Ketua Menteri berhubung aspirasi dan keperluan generasi muda.
  • Datuk Seri Hajiji Noor tekankan kepentingan penglibatan belia, yang mewakili lebih 50% pengundi Sabah, serta menyeru sokongan terhadap agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
  • Kutipan hasil Kerajaan Negeri meningkat kepada hampir RM7 bilion, berbanding RM4 bilion sebelum ini, sebagai bukti pentadbiran dan tadbir urus yang lebih berkesan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah ini akan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan generasi muda, sekali gus membina dasar yang lebih inklusif serta berpaksikan masa depan Sabah yang mampan dan progresif.

“Ya, itu yang akan kita buat menubuhkan Majlis Tindakan Belia dan Pemikir Anak Muda kepada Ketua Menteri.

“Maknanya, kita tubuhkan satu panel pemikir itu daripada anak muda. Ini nanti akan diperhalusi oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Persatuan Belia untuk memberi input kepada Ketua Menteri tentang aspirasi dan kemahuan anak muda ini,” katanya kepada media.

Beliau ditemui selepas hadir Program Tamu Suara: Aspirasi Anak Muda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya menekankan kepentingan penglibatan belia yang kini mewakili lebih 50 peratus daripada 1.7 juta pengundi di Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyeru agar golongan belia memberikan sokongan berterusan kepada kerajaan.

Tegas Hajiji, Kerajaan Negeri ketika ini mempunyai hala tuju jelas menerusi agenda Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam pembangunan ekonomi dan kestabilan politik.

Dalam masa sama, Hajiji memaklumkan sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan, kutipan hasil Kerajaan Negeri berjaya ditingkatkan hampir RM7 bilion, berbanding RM4 bilion.

“Apakah ini gagal, seperti mana dinyatakan oleh pihak tertentu? Kita gagal sebagai contoh RM4 bilion semasa ambil alih, kutipan jadi (jatuh) kepada RM3 bilion atau RM3.5 bilion.

“Tetapi kita dapat tingkatkan hasil, bermakna pentadbiran dan tatakelola kerajaan dapat kita perkemaskan,” ujar beliau.






#Kerajaan Sabah #Majlis Tindakan Belia dan Pemikir Anak Muda #Hajiji Noor #aspirasi generasi muda