KOTA KINABALU: Bandar di pesisir perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar serta memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim bagi menjamin kemampanan pembangunan jangka panjang, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata bandar pesisir yang juga pusat perdagangan, pelancongan dan aktiviti ekonomi turut berdepan dengan risiko peningkatan paras laut, cuaca ekstrem dan pencemaran.
“Melalui perancangan yang bijak dan kerjasama erat, kita mampu membangunkan bandar yang lebih selamat, bersih dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian Dialog Mayor Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIMD) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.
KKIMD 2026 menghimpunkan peserta dari lapan negara dan 15 bandar termasuk wakil Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Hajiji berkata perubahan iklim juga perlu diintegrasikan dalam pengurusan bandar termasuk sistem perparitan, sanitasi, kawalan banjir serta pemuliharaan hutan bakau dan sungai.
Bagaimanapun katanya, usaha itu memerlukan akses lebih baik kepada pembiayaan iklim, kerjasama awam-swasta dan perkongsian kepakaran antara bandar bagi melaksanakan projek infrastruktur hijau serta meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Hajiji berkata perairan Sabah menyokong sumber pendapatan rakyat, keterjaminan makanan dan pelbagai industri maritim, menjadikan usaha melindunginya amat penting bagi menjamin kemampanan ekonomi jangka panjang malah ia sebahagian daripada segi tiga terumbu karang yang mempunyai kepelbagaian biologi terkaya di dunia.
“Komitmen kerajaan negeri untuk mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi dapat dilihat menerusi Taman Tun Mustapha, yang memberi tumpuan kepada usaha melindungi ekosistem marin di samping menyokong keperluan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata agenda Ekonomi Biru selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menekankan pengukuhan sumber pendapatan dan peningkatan kesejahteraan rakyat selain mempergiat pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034, yang menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi.
Ketua Menteri turut memuji usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas agenda Bandar Pintar yang mampu meningkatkan keberkesanan sistem amaran awal banjir, perancangan guna tanah serta penyampaian perkhidmatan awam.
“Bagaimanapun transformasi digital perlu terus berpaksikan rakyat, telus dan mempunyai akauntabiliti,” katanya.
-- BERNAMA