Sabah kaji prestasi imunisasi sembilan daerah belum capai 60 peratus lengkap vaksinasi

Astro Awani
Oktober 1, 2021 06:25 MYT
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, 872 kes direkodkan pada Jumaat. - Foto Bernama.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah akan mengkaji dan menilai semula prestasi imunisasi sembilan daerah yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksin.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penilaian semula itu bagi membolehkan penduduk di daerah berkenaan bergerak dalam kawasan zon ditetapkan sekali gus merancakkan semula kegiatan ekonomi rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
"Hari ini permulaan pelaksanaan sistem rentas daerah dalam zon. Kelonggaran ini dibuat untuk membantu menyemarakkan semula kegiatan ekonomi rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
"Adalah diharapkan kelonggaran bergerak ini akan dilihat oleh penduduk sebagai meletakkan tanggungjawab untuk terus mematuhi semua SOP dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas mengenai laporan harian kes positif COVID-19, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, 872 kes direkodkan pada Jumaat.
Katanya, penurunan kes di beberapa daerah di Sabah pada Jumaat membantu mengurangkan kes harian di negeri itu kepada 872 kes berbanding 993 kes semalam.
"Pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5 yang memerlukan rawatan di hospital juga semakin berkurangan. Hari ini kategori 3 merekodkan lima pesakit dan empat pesakit masing-masing bagi Kategori 4 dan 5.
"Manakala 807 pesakit dikategorikan dalam Kategori 1 dan 2," katanya.
#Masidi Manjun #vaksinasi #rentas daerah #Sabah