KOTA KINABALU: Sabah melaporkan kes import varian Omicron COVID-19 yang pertama iaitu di daerah Tawau, pada Selasa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia melibatkan seorang warganegara yang pulang daripada menunaikan umrah di Arab Saudi.

"Kes (pesakit) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang telah menunaikan umrah di Arab Saudi bersama isteri pada 9 hingga 18 Disember lalu.

"Mereka kembali ke Malaysia pada 19 Disember melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pesakit bersama isteri tiba di Tawau pada 20 Disember," katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Beliau yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah berkata, setibanya di Tawau, pasangan itu telah diarah untuk menjalani kuarantin di rumah.

"Keputusan ujian whole genome sequencing pada 4 Januari menunjukkan penama positif varian Omicron.

"Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami dikesan positif COVID-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember.

"Keputusan whole genome sequencing untuk isterinya masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)," katanya sambil menambah kedua-dua mereka telah lengkap menerima vaksin Jun 2021.

Jelasnya, pasangan itu telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari lalu dan telah pulih daripada jangkitan COVID-19.

"Kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan sihat, namun ketika disahkan positif COVID-19, suaminya berada pada kategori 2 manakala isterinya adalah kategori 1," katanya.