Skip to main content

Malaysia

Sabah laksana tindakan segera kawal ancaman spesies ikan bukan endemik

Tangkap Ikan
Jamawi berkata kementeriannya turut mengarahkan larangan sementara terhadap semua aktiviti import dan eksport ikan daripada keluarga Cyprinidae sama ada ke Sabah atau dari Sabah. - Gambar hiasan/BERNAMA

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah mengarahkan Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan pekeliling khas kepada semua daerah untuk melaksanakan tindakan kawalan segera bagi menangani ancaman spesies ikan bukan endemik di negeri itu.

Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata ia merupakan sebahagian daripada langkah tegas untuk memastikan tindakan komprehensif diambil bagi menangani wabak kematian ikan pelian akibat jangkitan Koi Herpesvirus (KHV) yang dilaporkan sejak 1 Ogos 2025.

Advertisement

“Semua Pengerusi Tagal diarahkan mengenal pasti, menangkap dan mengeluarkan semua ikan koi serta spesies Cyprinidae bukan endemik Sabah dari kawasan tagal dan sungai.

“Ikan itu hendaklah dimusnahkan serta-merta mengikut prosedur operasi standard pelupusan biosekuriti ditetapkan dan sebarang pelepasan semula adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Jamawi berkata kementeriannya turut mengarahkan larangan sementara terhadap semua aktiviti import dan eksport ikan daripada keluarga Cyprinidae sama ada ke Sabah atau dari Sabah.

Beliau berkata larangan itu meliputi ikan hidup, benih, induk serta sebarang bentuk pemindahan biologi berisiko menyebarkan virus KHV dan berkuat kuasa serta-merta sehingga penilaian risiko biosekuriti selesai dilaksanakan.

Jamawi menegaskan penguatkuasaan di bawah Enakmen Perikanan Darat Sabah akan diperkukuhkan tanpa kompromi.

“Mana-mana pihak yang melepaskan ikan asing ke perairan umum, gagal mematuhi arahan pemusnahan atau melanggar larangan import dan eksport akan dikenakan tindakan undang-undang tegas,” katanya.

Jamawi berkata pengusaha akuakultur, penternak ikan hiasan dan orang awam dilarang keras untuk membawa masuk atau melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum serta digesa mematuhi sepenuhnya keperluan biosekuriti.

Beliau berkata semua pihak juga perlu memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam usaha membendung penularan wabak berkenaan.

“Kejadian ini merupakan ancaman serius terhadap biodiversiti perairan darat Sabah dan berpotensi menyebabkan kehilangan kekal spesies ikan endemik seperti ikan pelian sekiranya tidak ditangani secara agresif dan bersepadu.

“Tiada kompromi terhadap ancaman biosekuriti. Tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video