Sabah muncul negeri pertama di negara ini melancarkan indeks belianya sendiri selepas pelancaran Indeks Belia Malaysia (IBM) pada 8 September lalu oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut Khairy, Sabah mahu menjadi negeri pertama yang melaksanakan sistem indeks belia berkenaan.

Beliau juga berkata pelancaran indeks yang dinamakan sebagai Indeks Belia Sabah (IBS) 2015 tersebut bertujuan untuk menyemak dan memudahkan pihak kerajaan negeri bagi memberi lebih peluang perancangan dan program memastikan ia menepati sasaran kepada golongan belia.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Sabah kerana menjadi pertama dan satu-satunya negeri, yang saya rasa tiada usaha dari negeri lain untuk membangunkan indeks.

"Saya fikir Sabah sahaja yang telah melahirkan keinginan untuk membangunkan indeks dan telah melaksanakan indeks ini. Melalui indeks ini, ia akan menjadi rujukan kepada kerajaan negeri dan juga agensi-agensi di bawah kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri untuk kita menyediakan perancangan dan program yang lebih menepati sasaran," tambah Khairy.

Pelancaran IBS itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan disaksikan sendiri oleh Khairy. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Titingan.

Menurut Abu Bakar, indeks itu juga akan memandu pelan tindakan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup belia di Sabah serta sebagai indikator bagi mengukur pencapaian Dasar Belia Malaysia dan Dasar Belia Sabah.

“Tidak jauh berbeza dengan skor peringkat kebangsaan dan ini menunjukan bahawa pelbagai pendekatan yang releven yang perlu diambil oleh semua pihak bertanggunjawab agar ia akan dimanifestasi dengan kestabilan kualiti belia di negeri Sabah.

"Kerajaan negeri akan terus menyediakan ruang dan peluang untuk memperkasa belia atas kesedaran bahawa pembangunan belia adalah satu proses berterusan yang perlu digembleng secara bersepadu berpaksikan potensi kepimpinan, kepakaran dan keusahawanan yang perlu diperhebatkan dari semasa ke semasa.

"Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk memberi sokongan kepada belia yang mempunyai komitmen tinggi untuk memajukan diri termasuk menyediakan tapak tanah untuk aktiviti pertanian kepada mereka yang berminat dalam sektor keusahawanan tani," tambah Tawfiq.

Sementara itu Khairy berkata, indeks belia ini adalah hasil kerjasama kerajaan negeri Sabah dan juga kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang di hasilkan melalui kaedah yang disediakan oleh pakar-pakar, yang telahpun bekerjasama dengan The Institute For Youth Research Malaysia.