Skip to main content

Malaysia

Sabah mahu kawalan sempadan maritim Kudat diperkukuh susulan aktiviti ketenteraan - Hajiji

Hajiji menegaskan keselamatan merupakan asas penting dalam menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. - Gambar fail/Bernama
Hajiji menegaskan keselamatan merupakan asas penting dalam menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Sabah menekankan keperluan memperkukuh kawalan keselamatan sempadan maritim di Kudat susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di perairan berhampiran.
  • Sabah menyokong perolehan radar AI dan kamera jarak jauh menjelang 2028 serta penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan strategik seperti Pulau Banggi dan Pulau Balambangan.
  • Agensi berkaitan diarahkan meningkatkan pemantauan jerebu rentas sempadan dan sentiasa berwaspada terhadap dinamika sosiopolitik serta penularan maklumat di media sosial.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim negeri di Kudat terus diperkukuh, berikutan perkembangan aktiviti ketenteraan yang dikesan di kawasan perairan berhampiran.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah proaktif itu penting, bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara, selain menyambut baik perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di perairan berkenaan, menjelang 2028.

“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tentang keperluan penambahan anggota keselamatan, di kawasan perairan Kudat.

“Beliau (Anwar) memberi respons yang baik,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Kudat merupakan sebuah daerah di utara Sabah terletak lebih 180 kilometer dari Kota Kinabalu dan mempunyai titik sempadan perairan yang hampir dengan negara jiran Filipina, terutama di kawasan perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan.

Hajiji menegaskan keselamatan merupakan asas penting dalam menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, terutamanya di zon maritim strategik merangkumi Pulau Banggi serta Pulau Balambangan.

Kerajaan negeri turut menyokong penuh keutamaan sektor keselamatan dan pertahanan yang digariskan di bawah Belanjawan 2027, bagi memastikan agensi penguatkuasaan sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik serantau.

Dalam pada itu, Hajiji mengarahkan agensi berkaitan, mempertingkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya di sempadan Malaysia-Indonesia.

Keadaan itu dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi pasukan keselamatan, sekiranya tidak dipantau dan ditangani secara berkesan.

“Sehubungan dengan itu, saya meminta agensi berkaitan untuk sentiasa menyelaraskan perkongsian maklumat berhubung kualiti udara dan amaran cuaca, di samping memantau perkembangan situasi jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap dinamika sosiopolitik antarabangsa, termasuk pergolakan politik di Perancis serta bantahan pengurusan jerebu di Indonesia, yang boleh mempengaruhi sentimen masyarakat tempatan.

Pihak berkuasa juga diminta memantau rapi penularan maklumat serta sentimen di media sosial bagi mengenal pasti dan membendung sebarang perkara yang berpotensi menggugat ketenteraman awam di Sabah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement