Sabah Memilih: SPR adakan Mesyuarat Khas pada 17 Ogos
Isabelle Leong
Ogos 7, 2020 08:58 MYT
Ogos 7, 2020 08:58 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 17 Ogos ini.
Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata mesyuarat khas itu akan diadakan pada jam 9 pagi dan dipengerusikan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom.
Ikmalrudin berkata mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan tarikh-tarikh penting urusan pilihan raya seperti Tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan dalam PRN Sabah.
Dalam pada itu, persiapan lain yang diperlukan bagi melancarkan pilihan raya negeri tersebut juga akan dibincangkan.
Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut yang bertempat di The Magellan Sutera Resort Kota Kinabalu, Sabah.
Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Sehari selepas itu, SPR memaklumkan menerima pemakluman rasmi daripada DUN Sabah mengenai pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.
#azmi sharom
#Mesyuarat Khas
#Mohd Shafie Apdal
#pilihan raya negeri
#Sabah
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya