MALAYSIA

Sabah nikmati keharmonian beragama

Bernama 22/01/2013 | 11:16 MYT
Sabah menikmati keharmonian beragama dan tidak pernah dilanda sebarang konflik atau ketegangan berkaitan agama sepanjang berada di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kata naib presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Cyril Yansalang.

Beliau berkata walaupun mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama, Sabah sentiasa aman.
"Di Sabah, kami tak ada masalah berkaitan agama. Sebagai rakyat Sabah, kami berbangga kerana boleh hidup dengan harmoni, walaupun berbeza agama, bangsa dan bahasa.

"Perpaduan yang tidak ternilai harganya ini perlu dikekalkan dengan apa jua cara sekali pun," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Cyril berkata senario itu terpamer melalui kenyataan ketua biskop yang akan bersara Datuk John Lee ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Sri Gaya di sini pada Isnin.

Lee dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada Gereja Katolik serta aktivitinya dan menyifatkan Musa sebagai pemimpin yang bertimbang rasa serta adil kepada semua pertubuhan agama di negeri ini.

Lee juga dikatakan memberi penghormatan kepada Ketua Menteri itu kerana meluluskan tanah seluas dua hektar untuk pembinaan gereja di Kampung Nagasiba.
#Barisan Nasional #Cyril Yansalang #Sabah