Sabah merupakan antara penerima faedah terbesar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) yang memberi keutamaan kepada projek membangunkan infrastruktur komunikasi di negeri berkenaan dari 2020 sehingga 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara projek yang dilaksanakan termasuklah penambahan sebanyak 382 menara komunikasi baharu yang sedang dirancang dan penaiktarafan 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada.

Katanya, 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial oleh penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G.

"Sebanyak 251,166 premis akan turut disediakan dengan capaian kepada gentian optik," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Kenyataan media KKMM

Jendela merupakan satu inisiatif kerajaan dan pemain industri bagi mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatn komunikasi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lalu.

Projek dibawah program itu dan program PPS turut memberi pelbagai manfaat kepada penduduk khususnya di Pitas.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, melalui inisiatif berkenaan, penduduk di Pitas kini bukan sahaja boleh meningkatkan taraf sosioekonomi, bahkan juga melaksanakan pelbagai urusan seharian dengan mudah dan lancar.

"Di bawah program Jendela dan PPS, 17 menara diperuntukkan untuk Pitas, iaitu tujuh daripadanya telah siap, dua sedang dibina dan lapan menara baharu sedang dirancang.

"Salah satu menara yang sedang dibina terletak berhampiran Kampung Sapatalang dan bakal memberi capaian 4G kepada penduduk di situ dan projek ini dijangka siap menjelang suku kedua 2021," katanya.

Saifuddin menambah, sebanyak enam pemancar di Pitas telah selesai dinaik taraf kepada 4G,
manakala 18 lagi dalam perancangan untuk dinaik taraf kepada 4G.

Selain itu, jelas beliau, Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menguruskan Pusat Internet di Kampung Pinggan-Pinggan, yang terletak 11 kilometer dari Kampung Sapatalang, telah meningkatkan kelajuan jalur lebar melalui sambungan gentian optik sehingga
mencapai 300Mbps.

"Pusat Internet memberikan kemudahan akses yang stabil dan berfungsi memberi bimbingan kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti sosioekonomi digital," ujarnya.