KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berpandangan Sabah perlu mempunyai sebuah badan kawal selia bagi memantau tahap perkhidmatan yang disediakan oleh operator air di negeri itu.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata seperti di Semenanjung, terdapat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bukan sahaja berfungsi mengawal selia bekalan air, tetapi juga bertindak menetapkan beberapa syarat di bawah akta sedia ada untuk 'mengikat' operator agar sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata hal itu penting kerana rizab margin keseluruhan bekalan air Sabah pada 2022 hanya berada pada tahap 7.1 peratus dan terdapat kemungkinan rizab margin bekalan air di setiap daerah juga jauh lebih rendah berbanding angka keseluruhan.

"Atas sebab itu, untuk mengurus bekalan air di Sabah, saya rasa ada keperluan di peringkat negeri untuk ada satu badan kawal selia. Namun kita faham di Sabah, ada enakmen.

"Jadi kita harus memikirkan sama ada mahu proses kawal selianya disekalikan dengan suruhanjaya yang sama (SPAN) atau kita angkat (wujudkan) baru di peringkat negeri," katanya pada sesi kamar khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap isu yang dibawa oleh Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) terhadap masalah bekalan air yang kritikal di Sabah dan langkah-langkah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek air yang telah dirancang.

Akmal Nasrullah berkata pada tahun lepas sebanyak RM258 juta diperuntukan untuk negeri itu bagi melaksanakan beberapa projek antaranya pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 di Tawau yang kini dalam proses perolehan.

"Surat Setuju Terima (SST) untuk projek ini dijangka dikeluarkan pada Januari 2025. Bagi projek sambungan air pula, sebanyak enam sedang dijalankan dan empat projek telah siap dan dalam proses memuktamadkan akaun," katanya.

Pada tahun ini, katanya tiga projek baharu dan 10 projek sambungan air turut diluluskan.

-- BERNAMA