MALAYSIA
Sabah, Sarawak mendapat manfaat dari pembangunan IKN - Penganalisis

Malaysia berpotensi menjadi rakan strategik dalam membantu pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) melalui sokongan teknikal dan logistik. - Reuters
KUALA LUMPUR: Perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan memberi limpahan ekonomi kepada Sabah dan Sarawak, sekali gus mengukuhkan hubungan serantau, kata Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Penganalisis politik itu berkata, dengan kekurangan infrastruktur di Kalimantan, Malaysia berpotensi menjadi rakan strategik dalam membantu pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) melalui sokongan teknikal dan logistik.
“Kita lihat bahawa perubahan ini telah memberikan pulangan dan limpahan ekonomi yang cukup baik untuk negeri-negeri di sekitar Kalimantan terutama Sabah dan Sarawak.
“Keadaan serba kekurangan di Kalimantan pasti akan merujuk pada Malaysia untuk mendapatkan perbagai bentuk bantuan terutama dari sudut infrastruktur,” katanya.Beliau berkata demikian semasa wawancara bertajuk Rundingan Tahunan ke-13: Kuala Lumpur-Jakarta Perkukuh Kerjasama Serantau di segmen Pantau Agenda Reformasi pada Rabu.
Bercakap mengenai kemajuan teknologi Sarawak, Ahmad berpendapat ia boleh dimanfaatkan bersama Indonesia terutamanya dalam sektor pembangunan di Kalimantan.
“Bukan sahaja dari sudut ilmu yang boleh dipindahkan tetapi yang lebih utama dari sudut tenaga boleh baharu, yang sekarang ini menjadi antara kekuatan di Sarawak,” katanya.
Ahmad turut memuji langkah Malaysia membangunkan projek Lebuhraya Pan borneo yang berupaya mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara dari pelbagai dimensi.
“Dengan adanya mobiliti yang boleh ditingkatkan dan sistem perjalanan darat yang semakin baik maka sudah pastilah apabila ada komunikasi yang lebih rapat di antara kedua-dua negara,” katanya.
Malaysia dan Indonesia mencapai beberapa persetujuan penting dalam Rundingan Tahunan ke-13 yang berlangsung di Jakarta pada 29 Julai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rundingan tersebut turut menyentuh mengenai kerjasama pelaburan di IKN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami