KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menerima pakai sekatan kemasukan pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang dari 23 negara ke Malaysia yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan pada September lepas, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi berkata sekatan kemasukan yang ditetapkan itu melibatkan Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata keputusan itu sekali gus memansuhkan kenyataan media oleh Jabatan Ketua Menteri pada 4 Sept lepas mengenai sekatan kemasukan pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang yang hanya membabitkan tiga negara iaitu India, Indonesia dan Filipina.

"Pas Lawatan Jangka Panjang dari negara terbabit yang tidak dibenarkan masuk ke Sabah ialah Pemastautin Tetap (PR), Pas Program Malaysia Rumah Keduaku, semua ekspatriat, pas pengajian, pas lawatan ikhtisas, pas tanggungan, pas suami atau isteri kepada warganegara, pas pelajar dan pas lawatan kerja sementara," katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di Sabah hari ini.

Masidi berkata sekatan itu turut melibatkan warganegara asing lain yang bermastautin atau mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang di negara terbabit, selain kelulusan masuk yang telah diberikan kepada warganegara terlibat juga tidak terpakai sepanjang tempoh sekatan.

"Akan tetapi senarai Pas Lawatan Jangka Panjang yang dinyatakan dibenar masuk ke Sabah setelah mendapat kelulusan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia adalah tertakluk kepada panduan kemasukan ke Sabah," katanya.

Bagaimanapun, Masidi berkata pengecualian diberikan kepada Diplomat yang layak di bawah Perintah Pengecualian dan tanggungan.

"Bagi diplomat atau staf kedutaan yang belum mempunyai pas dan kemasukan kali pertama, mereka perlu mendapatkan kelulusan masuk dari Ketua Pengarah Imigresen terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata pengecualian turut diberikan kepada anak kapal yang masuk ke Sabah bagi menjalankan aktiviti 'sign-on' atau 'joint ship' dan 'sign-off' serta kru dan pekerja profesional dalam industri minyak dan gas yang mempunyai pas dan diberi kelulusan masuk oleh kerajaan negeri.

Katanya sehubungan itu, semua kemasukan ke Sabah adalah tertakluk kepada arahan sekatan kemasukan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA