Skip to main content

Malaysia

Sabah terima RM30.7 juta peruntukan Pindahan Fiskal Ekologi tahun ini

KOTA KINABALU, 18 Ogos -- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menjawab pertanyaan media selepas merasmikan "The International Conference on Tropical Forestry 2026 (TF2026)" hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Arthur menjawab pertanyaan media selepas merasmikan "The International Conference on Tropical Forestry 2026 (TF2026)" hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah menerima RM30.7 juta pada tahun ini di bawah Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk pemuliharaan biodiversiti menjadikan jumlah keseluruhan diterima negeri itu sebanyak RM157.05 juta sejak 2019. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata inisiatif itu memberikan insentif kepada kerajaan negeri untuk melindungi dan memperluas kawasan yang mempunyai kepentingan ekologi. 

“Ini mengiktiraf peranan penting Sabah dalam menjaga hutan, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem yang memberikan manfaat kepada negara secara keseluruhan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Perhutanan Tropika 2026 (TF2026) di sini hari ini.

Arthur berkata peruntukan nasional untuk inisiatif itu meningkat daripada RM150 juta pada 2023 kepada RM200 juta pada 2024 dan kepada RM250 juta pada 2025 dan 2026.

Beliau berkata Sabah mengekalkan 62.53 peratus bersamaan dengan 4.63 juta hektar keluasan tanahnya sebagai kawasan litupan hutan dan pokok.

Sementara itu, Malaysia pada masa ini mengekalkan 54.40 peratus atau 17.99 juta hektar keluasan tanahnya di bawah litupan hutan  dan pokok, melebihi komitmen negara sejak Sidang Kemuncak Bumi 1992 di Rio de Janeiro, Brazil untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan itu. 

Beliau berkata sistem pengurusan hutan Malaysia secara lestari juga terus diperkukuh melalui dasar, perundangan, sains dan pensijilan dengan hampir 5.9 juta hektar hutan diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf oleh Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC).

“Ini menunjukkan pengurusan hutan pengeluaran dengan baik mampu menjana nilai ekonomi di samping mengekalkan perlindungan alam sekitar dan sosial,” katanya.

Beliau berkata Sabah turut memberikan sumbangan besar kepada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dari 2021 hingga 2025 yang melibatkan penanaman 137 juta pokok di seluruh negara sekali gus melebihi sasaran asal.

Sabah menyumbang 27.19 juta pokok yang menjadikannya negeri kedua tertinggi selepas Sarawak, dan menyumbang hampir satu perlima daripada jumlah keseluruhan pada peringkat nasional.

Arthur berkata Malaysia juga sedang menyelaraskan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 dengan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal, dengan sasaran negara untuk memulihara sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan darat dan perairan pedalaman menjelang 2030.

Mengenai masa depan perhutanan tropika, beliau berkata cabaran baharu seperti perubahan iklim, penerokaan dan kemerosotan kualiti hutan, kehilangan biodiversiti dan tekanan perubahan guna tanah serta jangkaan berkaitan pasaran karbon, kebolehkesanan dan kelestarian menjadikan sains dan penyelidikan semakin penting

“Teknologi termasuk penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi, Light Detection Ranging (LiDAR) dan kecerdasan buatan (AI) boleh melengkapi kepakaran lapangan serta memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan dan pembuatan keputusan,” katanya.

TF2026 yang bertemakan Tropical Forestry and Sustainability for Human Society melibatkan kira-kira 200 perwakilan daripada penyelidik, penggubal dasar, agensi kerajaan, penggiat industri dan pihak berkepentingan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement