Sabah tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu, sifatkan ia tidak masuk akal - Hajiji

Eleanor Michelle Patrick
Mac 4, 2022 11:47 MYT
Beliau menggesa agar rakyat kekal tenang dan menyerahkan kepada pasukan undang-undang kerajaan negeri dan Persekutuan mengendalikan perkara itu. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Sabah tidak akan mengiktiraf tuntutan pihak-pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu sekali gus menyifatkan ia sesuatu yang tidak masuk akal.
Malah, tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah adalah sebuah negeri berdaulat di dalam Persekutuan Malaysia.
Justeru, beliau menggesa agar rakyat kekal tenang dan menyerahkan kepada pasukan undang-undang kerajaan negeri dan Persekutuan mengendalikan perkara itu.
"Ia adalah tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah di Persekutuan Malaysia tidak sepatutnya dipersoalkan," katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
BACA: Malaysia tidak layan, iktiraf tuntutan waris Kesultanan Sulu
Terdahulu, Wisma Putra dan Peguam Negara dalam kenyataan bersama mengatakan bahawa Malaysia telah menolak perintah timbang tara Perancis untuk membayar hampir RM63 bilion kepada waris Kesultanan Sulu.
Tambah kenyataan bersama itu lagi, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara itu kerana Malaysia sentiasa mempertahankan dan tidak pernah mengetepikan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
Tuntutan Waris Kiram | Polis Sabah tingkatkan keselamatan perairan negara
#Tuntutan Sultan Sulu #Hajiji Noor #Sabah negeri berdaulat #tuntutan tidak masuk akal