[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

Sabah tubuh 'Task Force' Bersepadu tangani isu pelancongan Semporna

Bernama 22/12/2025 | 14:45 MYT
Jafry berkata penubuhan pasukan khas itu penting memandangkan isu-isu berbangkit di daerah tersebut telah memberi kesan langsung kepada imej, keselamatan dan kelestarian industri pelancongan negeri. - Gambar fail/FB Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) hari ini menubuhkan 'Task Force' Bersepadu bagi menangani secara menyeluruh isu-isu pelancongan di Semporna yang kian mendesak.

Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata penubuhan pasukan khas itu penting memandangkan isu-isu berbangkit di daerah tersebut telah memberi kesan langsung kepada imej, keselamatan dan kelestarian industri pelancongan negeri.

Jafry berkata antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah ketidakselarasan punca kuasa antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah selain isu struktur haram, keselamatan serta kebersihan.

"Objektif utama 'Task Force' Bersepadu ini adalah untuk menyelesaikan isu pelancongan Semporna secara tuntas, bukan sekadar reaktif, tetapi melalui pendekatan sistemik yang menyelaraskan peranan, bidang kuasa dan penguatkuasaan antara agensi berkaitan.

"Pasukan itu akan dikawal selia oleh Pembantu Menteri (KePKAS) Dr Andi Rizal, dan laporan kemajuan akan dikemukakan kepada saya setiap dua minggu sekali," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jafry berkata langkah pelaporan berkala tersebut bertujuan memastikan setiap tindakan yang diambil bersifat berfokus, berperingkat dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi dalam menangani kemelut berkenaan.

Beliau menegaskan pendekatan yang diambil berteraskan prinsip "sit down together, we can work together" dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Taman-Taman Sabah serta agensi penguatkuasaan lain.

Menurutnya, inisiatif itu diwujudkan bagi membina sistem tadbir urus pelancongan yang lebih tersusun, selamat dan berintegriti, di samping memastikan MOTAC mempunyai asas kukuh dalam mempertahankan peranan kawal selia industri.

Sebagai langkah segera, tindakan 'ad hoc' pasukan itu bermula hari ini termasuk sesi libat urus bersama pemain industri di Semporna, selain beliau sendiri akan turun padang bagi menyusun atur isu berkenaan secara praktikal.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab, perkara yang tertangguh sebelum ini akan diteruskan dengan pendekatan lebih bersepadu, tegas dan berorientasikan penyelesaian, demi memastikan industri pelancongan Semporna kembali stabil dan mampan," katanya.

-- BERNAMA



#kepkas #Sabah #Semporna #Task Force Bersepadu