MALAYSIA

Sabah yakin pemberian khas 40 peratus dimuktamadkan tidak lama lagi

Bernama 06/12/2025 | 12:00 MYT
Datuk Seri Hajiji Noor yakin rundingan berkaitan pemberian khas 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Gambar fail/Facebook Hajiji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin rundingan berkaitan pemberian khas 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Beliau percaya dan yakin bahawa hubungan rapat serta kukuh antara kedua-dua pihak bukan saja perlu, malah penting bagi memastikan kemajuan berterusan, termasuk perkara berkaitan kedaulatan, keselamatan, perpaduan dan kenegaraan.

Menurutnya, meskipun kerajaan negeri terus memperjuangkan hak Sabah, tanggungjawab menjaga kepentingan negara tidak boleh diabaikan.

"Saya yakin hubungan yang kukuh akan membawa banyak manfaat, termasuk memuktamadkanobligasi kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran hak hasil 40 peratus untuk Sabah, yang kita harap dapat dimuktamadkan tidak lama lagi demi kebaikan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sentuhan MADANI bersama rakyat negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Ketua Menteri juga berkata mulai tahun depan, dasar pembangunan Sabah akan berpandukan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk penubuhan tiga taman perindustrian baharu.

Ia merangkumi Taman Perindustrian Industri Ekonomi Biru di Kudat; Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort; serta Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor di antara Kota Belud dan Kota Marudu bagi menampung minat pelabur yang semakin meningkat.

Beliau berkata ia adalah komitmen kerajaan negeri untuk menunaikan tanggungjawab serta mengangkat martabat Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Setiap perancangan yang dilaksanakan mesti memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui peningkatan ekonomi dan peluang pekerjaan," katanya.

Hajiji turut mengulangi komitmen kerajaan negeri menjaga kepentingan rakyat Sabah menerusi pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, selain bantuan kewangan bulanan RM300 untuk 100,000 penerima pada tahun depan.

Beliau berkata bantuan kewangan baharu untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas yang tidak mempuntai pendapatan tetap serta insentif pembiayaan deposit rumah pertama juga akan diperkenalkan.

Kerajaan negeri, katanya, turut menggandakan usaha menaik taraf infrastruktur asas, termasuk memperuntukkan lebih RM1.2 bilion bagi projek bekalan air yang akan dilaksana secara berfasa bermula pertengahan tahun depan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas peruntukan RM765 juta bagi menyiapkan Projek Sabah Southern Link, yang akan menghubungkan grid elektrik Pantai Barat ke Pantai Timur bagi menangani gangguan bekalan elektrik di kawasan tersebut.

Pada 13 Nov lalu, media melaporkan Kerajaan MADANI memperkukuh bekalan asas negara melalui peruntukan RM1.2 bilion bagi memastikan kelangsungan tenaga elektrik serta RM765 juta untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link di Sabah.

-- BERNAMA



#Sabah #pemberian khas 40 peratus #Hajiji Noor #kerajaan Persekutuan