Kira-kira 100 individu, termasuk pegawai Jabatan Imigresen, disyaki terlibat mensabotaj pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pegawai terlibat terdiri daripada pegawai pertengahan dan kakitangan sokongan Jabatan Imigresen yang berkhidmat selama satu hingga lima tahun.

Berdasarkan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen, sindiket itu menjalankan aktiviti mensabotaj sistem tersebut kira-kira enam bulan hingga dua tahun dengan membocorkan data termasuk menggunakan nombor kod tertentu untuk disalah guna.

Menurut Ahmad Zahid, sebahagian mereka yang terlibat kini berada dalam tahanan polis.

Beliau juga menolak penglibatan pegawai atasan dan juga pembekal sistem dalam kegiatan sabotaj tersebut.

Berdasarkan siasatan, beliau berkata salah seorang daripada anggota sindiket merupakan warga asing manakala yang lain ialah rakyat tempatan.

Sehubungan itu, beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim akan berjumpa dengan pembekal supaya mengemas kini dan menambah baik sistem tersebut dalam tempoh terdekat.