MALAYSIA

SADA laksana pelarasan kadar tarif air bermula Ogos

Sinar Harian 03/08/2025 | 04:20 MYT
SADA memaklumkan, pelarasan kadar tarif itu berkuat kuasa pada 1 Ogos dan akan mula dicaj pada bil bulan September 2025.
ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) melaksanakan pelarasan kadar tarif melalui kajian Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi semua kategori pengguna di Kedah dengan mengambil kira kos perbelanjaan operasi dan kos perbelanjaan modal syarikat.


Ringkasan AI
  • Syarikat Air Darul Aman (SADA) melaksanakan pelarasan kadar tarif air berkuat kuasa 1 Ogos 2025 bagi semua kategori pengguna di Kedah, dengan caj baharu mula dicaj pada bil bulan September. Langkah ini bertujuan menampung peningkatan kos operasi dan memastikan kelestarian bekalan air.
  • Kutipan hasil daripada pelarasan tarif akan digunakan untuk menambah baik sistem bekalan air termasuk penggantian paip lama, pembinaan loji rawatan air baharu, pembaikan sistem agihan dan rumah pam bagi menangani isu tekanan air rendah serta memperluas liputan bekalan air.
  • Kenaikan tarif dianggap munasabah dan tidak membebankan pengguna, dengan peningkatan purata tidak melebihi RM4 sebulan bagi pengguna domestik. Pelarasan ini juga membantu SADA melunaskan komitmen kewangan jangka panjang termasuk pinjaman RM1.12 bilion kepada PAAB.


SADA dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan kadar tarif itu berkuat kuasa pada 1 Ogos dan akan mula dicaj pada bil bulan September 2025.

Menurut kenyataan tersebut, pelarasan kadar tarif merupakan satu keperluan penting bagi pihak operator air untuk memastikan kelestarian bekalan air dalam jangka masa panjang.

“Perkara ini juga berkait rapat dengan usaha berterusan untuk menambah baik mutu perkhidmatan melalui pembinaan projek infrastruktur air yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan SADA.

“Antara fokus utama termasuk usaha menukar ganti paip lama dan uzur yang menjadi punca utama kepada isu Non-Revenue Water (NRW),” kata kenyataan itu.

Di samping itu, bagi menangani isu ketidakcukupan bekalan air, beberapa projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu sedang dan akan dilaksanakan, antaranya LRA Pelubang, LRA Kodiang Fasa 1, LRA Padang Saga Fasa 4 dan 5, LRA Sidam Kiri Fasa 1, LRA Sungai Karangan Fasa 1 serta pembinaan loji kompak di Kulim Hi-Tech.

Pada masa yang sama, kerja-kerja pembaikan sistem agihan dan rumah pam turut giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang dihadapi di beberapa kawasan.

“Pertambahan kutipan hasil daripada pelarasan kadar tarif ini akan digunakan untuk menampung kos pengoperasian, pembaikan dan penyelenggaraan sistem sedia ada, membangunkan sistem bekalan air baharu yang lebih mampan dan efisien, meluaskan liputan bekalan air serta meminimumkan jumlah kawasan terputus bekalan dan bertekanan rendah, sekali gus meningkatkan rizab margin air negeri.

“Pelarasan kadar tarif ini turut mengambil kira keperluan untuk menampung kos operasi syarikat bagi tahun 2025 yang meningkat sebanyak enam peratus, merangkumi pelbagai komponen utama termasuk kos elektrik, emolumen, caj air mentah serta bahan kimia yang digunakan dalam proses rawatan air,” jelas kenyataan itu.

Di samping itu, SADA turut mempunyai komitmen kewangan jangka panjang yang perlu dilunaskan.

“Ini termasuk keperluan menyelesaikan baki pinjaman berjumlah RM1.12 bilion kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi pelaksanaan projek-projek bekalan air di negeri ini, yang dijadualkan bermula pada April 2026.

“Pelarasan kadar tarif ini dilihat sebagai langkah strategik yang penting dalam memastikan kestabilan kewangan syarikat serta memperkukuh keupayaan SADA dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan secara berterusan,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, secara keseluruhannya, impak pelarasan kadar tarif bagi semua kategori pengguna di Kedah adalah munasabah dan tidak membebankan.

“Sebagai contoh, purata penggunaan air bagi pengguna kategori domestik di negeri ini adalah pada jalur kedua struktur tarif yang telah ditetapkan.

“Berdasarkan pelarasan ini, perbezaan kadar jalur ini adalah sebanyak RM0.18 bagi setiap meter padu berbanding kadar dahulu, dengan peningkatan tidak melebihi RM4 sebulan,” jelasnya.

Menurut SADA, pelarasan kadar ini telah melalui proses kajian yang menyeluruh bersama pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan dilaksanakan secara berperingkat agar tidak membebankan pengguna. - Sinar Harian






#SADA #bil air #Kedah #tarif air #terkini