KANGAR: Kuih putu mayong atau putu mayam, peknga, sambal gesek dan biskut 'mayat' adalah antara sarapan klasik di Sadiah Cafe yang mampu membangkitkan kenangan zaman kanak-kanak bagi kebanyakan pengunjungnya.

Kafe berkonsepkan alam semula jadi yang terletak di Kampung Wang Ulu, Bintong, di sini itu turut memikat pelanggan dengan suasana kampung berlatar belakangkan Banjaran Nakawan dan kehijauan sawah padi.

Pengurus kafe, Norazliana Adzame, 41, berkata idea membuka cafe tersebut tercetus selepas rindu dengan kenangan zaman kanak-kanaknya sekitar tahun 70-an.

"Resepi sarapan tradisional seperti putu mayong dan peknga ini saya pelajari daripada arwah nenek (Sadiah Jusoh), menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh seperti tepung, kelapa dan gula Melaka

"Ketika saya kecil, arwah nenek setiap hari akan menyediakan menu tersebut kepada cucu-cucunya untuk mengalas perut sebelum naik basikal ke sekolah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya Sadiah Cafe yang dibuka sejak setahun lepas itu, diusahakan bersama adiknya yang juga pemilik kafe, Nurul Azli, 40, dan anak saudara mereka, Mohd Rizuan Mohd Yatim, 29.

Beliau yang mesra dengan panggilan 'Kak Intan' berkata setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada penduduk sekitar dan pengunjung dari luar Perlis.

"Rata-rata pengunjung memberitahu mereka akan terkenang dan rindukan hidangan sarapan zaman kanak-kanak apabila datang ke Sadiah Cafe, selain rasa tenang dapat melihat keindahan suasana kampung.

"Saya juga sentiasa berpegang kepada pesan 'Tok' (nenek) masaklah dengan hati yang ikhlas dan jaga kebersihan kerana kita masak untuk bagi orang lain makan," katanya yang berazam menambah baik kualiti masakan dari semasa ke semasa.

Norazliana berkata antara menu istimewa yang popular dalam kalangan pengunjung ialah biskut mayat, iaitu biskut yang dihidangkan bersama kelapa parut, gula, serta garam dan biasanya dinikmati bersama kopi panas.

Bagaimanapun, menurutnya kebanyakan menu disediakan dalam kuantiti terhad bagi menjaga kualiti, selain menghadapi masalah kekurangan pekerja.

"Insya-Allah pada masa depan kami akan menambah beberapa hidangan menarik," katanya sambil memberitahu Sadiah Cafe dibuka bermula 8 pagi untuk sarapan pagi dan 5 petang hingga 12 malam.

--BERNAMA