Saham Serba Dinamik naik berikutan raih kontrak di Abu Dhabi

Bernama
April 16, 2020 04:00 MYT
Serba Dinamik International Ltd (SDIL) meraih kontrak pembinaan bernilai RM7.71 bilion di Abu Dhabi. - Gambar fail
Harga saham Serba Dinamik Holdings Bhd meningkat 19 sen kepada RM1.87 pagi ini selepas anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDIL) meraih kontrak pembinaan bernilai RM7.71 bilion di Abu Dhabi.
Sejumlah 14.63 juta saham diniagakan sehingga 9.30 pagi.
Semalam, Serba Dinamik mengumumkan pada 12 April, 2020, SDIL telah menerima surat lantikan daripada Block 7 Investments LLC untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan hab inovasi, kampus akademik, infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan kemudahan yang berkaitan di Abu Dhabi.
"Projek itu akan meliputi tiga bidang kepentingan, iaitu hab inovasi yang termasuk pembangunan pejabat, restoran, pusat pameran dan pusat IT.
"Ia akan turut merangkumi kampus akademik dan penginapan yang termasuk pangsapuri dan hotel, di kawasan seluas 455,000 meter persegi," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
-- BERNAMA
#Abu Dhabi #Bursa Malaysia #IT #LLC #saham #Serba Dinamik