GADGETS
Saham syarikat teknologi kembali susut akibat ketidaktentuan tarif AS
Saham syarikat teknologi utama seperti Apple, Microsoft, TSMC, NVIDIA, dan Amazon susut akibat ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat ke atas produk dari China. -Amanz
SAHAM syarikat teknologi utama dunia seperti Apple, Microsoft, TSMC, NVIDIA, dan Amazon kembali susut pagi ini berikutan ketidaktentuan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas produk yang diimport dari China.
Ringkasan AI
- Saham syarikat teknologi utama seperti Apple, Microsoft, TSMC, NVIDIA, dan Amazon susut akibat ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat ke atas produk dari China.
- Tarif baharu dan tindakan China menghentikan eksport unsur nadir bumi menyumbang kepada kemerosotan pasaran saham global.
- Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat masih berlanjutan tanpa tanda-tanda penyelesaian segera.
Saham Apple misalnya susut hampir 4%, menyebabkan nilai pasaran syarikat susut di bawah AS$3 trilion yang dicapai kembali hanya beberapa hari yang lalu.
Ketidaktentuan ini disebabkan oleh pentadbiran Trump yang akan mengumumkan tarif baharu ke atas semikonduktor serta memulakan siasatan ke atas rantaian bekalan semikonduktor yang dikilangkan di luar Amerika Syarikat.
Tarif baharu sehingga 245% ke atas China dan tindakan China menghentikan eksport unsur nadir bumi serta magnet turut menyumbang kepada kemerosotan pasaran saham global.
Timbul juga risiko bahawa Amerika Syarikat akan mengenakan bayaran lebih tinggi untuk membenarkan cip dijual kepada China atau mengeluarkan arahan mengharamkan eksport secara mengejut yang pastinya akan merugikan syarikat seperti NVIDIA dan AMD.
Perang perdagangan menerusi tarif antara China dan Amerika Syarikat masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat kerana pemimpin kedua-dua negara masih enggan duduk semeja untuk menyelesaikannya. -Amanz