KUALA LUMPUR: Dua remaja Malaysia telah terpilih untuk mewakili negara ke sidang kemuncak Youth4Climate: Driving Action (Y4C), yang bakal berlangsung di Milan, Itali pada 28 hingga 30 Oktober ini.

Menurut satu kenyataan hari ini, Sidang Kemuncak Y4C anjuran Kerajaan Itali merupakan antara persiapan awal bagi Konferens Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2021 (COP 26) yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, pada November tahun ini.

Selepas selesai pemilihan oleh Kerajaan Itali di SIdang Kemuncak Y4C, Sahana Kaur, 17, dan Mogesh Sababathy, 23, turut bakal mewakili negara di COP 26.

“Sewaktu di bengkel pra-Youth 4 Climate, Sahana dan Mogesh, dengan kerjasama UNICEF Malaysia, telah menzahirkan harapan untuk mempromosi libat urus golongan belia dalam tindakan iklim, serta mengenengahkan peluang dalam platform tempatan dan global untuk belia Malaysia.

“Input serta maklum balas yang diperolehi, bertujuan untuk menubuhkan impak berkaitan iklim, berasaskan bukti, ke atas belia, bagi melibatkan golongan berkenaan diskusi berkaitan polisi iklim di Malaysia serta dunia,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan yang sama, Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas UNICEF ke Brunei, Dr Rashed Sarwar berkata, UNICEF Malaysia komited dalam melindungi hak kanak-kanak dalam perubahan iklim, serta memudahcara penglibatan dan advokasi belia.

Selain itu, beliau berkata, UNICEF Malaysia juga akan terus memberi sokongan kepada Sahana dan Mogesh, dalam membuat persiapan ke Y4C.

“UNICEF akan terus berganding bahu bersama golongan belia serta pemegang taruh dalam membawa ke hadapan hak-hak kanak-kanak, untuk masa depan yang selamat serta mampan.

“Sahana dan Mogesh merupakan generasi baharu yang mampu mengenal pasti krisis perubahan iklim sebagai krisis hak kanak-kanak.

"Ini kerana golongan ini merupakan golongan paling rentan, serta berisiko dalam menghadapi perubahan iklim.

“Mereka juga merupakan golongan yang terpaksa menanggung impak akibat perubahan iklim, walaupun merekalah yang paling kurang mengakibatkan perubahan iklim,” katanya lagi.

Sahana, anggota kepada Delegasi Belia Malaysia (MYD) dan YOUNGO, sangat berdedikasi untuk mempromosi keterangkuman dalam proses penghasilan polisi berkaitan perubahan iklim.

“Polisi berkaitan perubahan iklim serta alam sekitar, termasuk strategi berkaitan, tidak mempunyai libat urus yang berpatutan dari golongan kanak-kanak dan belia, walhal mereka berada di tengah-tengah ancaman iklim yang kritikal.

“Kita perlu memperkasakan golongan belia sebagai ejen perubahan dalam komuniti mereka, serta memastikan penglibatan mereka dalam tindakan serta maklumbalas terhadap perubahan iklim,” katanya lagi.

Sementara itu, Mogesh, pengasas bersama Project Ocean Hope, serta calon peringkat Doktor Falsafah (PhD)  Universiti Putra Malaysia, menggesa pembuat dasar, pemimpin, serta pempengaruh untuk mengambil tindakan bagi meminimumkan perubahan iklim, serta adaptasi yang bersesuaian

“Pandemik COVID-19 mempunyai impak yang besar terhadap komuniti kita, malah ia lebih berisiko kepada golongan yang rentan di kalangan kita, termasuk kanak-kanak, individu kurang berkeupayaan, komuniti di pedalaman, serta populasi B40.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, perubahan iklim bakal menghasilkan lebih banyak malapetaka, dan impak yang terjadi adalah lebih mendalam,” katanya lagi.