Skip to main content

Malaysia

Saifuddin Nasution arah Imigresen beri kerjasama penuh siasatan nahas tiga maut

BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penerangan ketika sidang media pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera di Felda Bukit Tangga, hari ini._BERNAMA
Saifuddin Nasution berkata arahan dikeluarkannya bagi memastikan segala fakta berkaitan insiden itu dapat dikenal pasti dan diperjelaskan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diarah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan nahas melibatkan lori jabatan itu yang meragut nyawa tiga  sekeluarga awal pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia bagi memastikan segala fakta berkaitan insiden itu dapat dikenal pasti dan diperjelaskan.

“Sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menzahirkan rasa amat dukacita atas tragedi itu, Saifuddin Nasution turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang.

"Seluruh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang amat sukar ini. Al-Fatihah," katanya.

Media melaporkan tiga pejalan kaki yang merupakan satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori Black Maria JIM di Jalan Sultan Ismail pada kira-kira 1 pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan itu yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, memandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.

Kenderaan tugas rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement